Nik Aziz ucap terima kasih kepada SPRM

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur terhadap Allah berikutan beliau telah digugurkan tuduhan rasuah yang membabitkan tajaan RM65,000 oleh syarikat swasta untuk menunaikan haji awal tahun lalu.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Nik Aziz mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah membersihkan namanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan SPRM yang telah membebaskan dakwaan terhadap beliau semalam sebagaimana yang disiarkan oleh media hari ini.

Semalam SPRM menutup dua kes berpotensi tinggi membabitkan Menteri Besar Kelantan iaitu berhubung kes tajaan sejumlah RM65,000 untuk menunaikan haji dan tuduhan salah guna kuasa dalam pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai Ketua Eksekutif (CEO) PMBK.

Keputusan itu diumum oleh Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil pada sidang media selepas mesyuarat PPO bersama SPRM semalam.

Hadenan juga turut mendakwa, pelantikan Arrifahmi lebih kepada pertukaran nama jawatan iaitu daripada Ketua Pegawai Operasi kepada CEO PMBK.

Sebelum ini, media membuat laporan kononnya Nik Aziz telah menerima pakej menunaikan fardhu haji bernilai RM65,000. Ekoran dakwaan tersebut Nik Aziz telah membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardhu haji pada tahun lepas ke tahun ini.

Sementara itu, SPRM juga telah mengumumkan, pegawai kerajaan di negeri Kelantan adalah antara yang terendah terlibat dengan rasuah.

No comments

Powered by Blogger.