Pegawai Khas Ronnie Liu bebas tuduhan pecah amanah

SHAH ALAM, 23 Dis – Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Wong Chuan How, pegawai khas kepada anggota exco kerajaan Selangor Ronnie Liu daripada tuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM5,000 lapor Bernama hari ini.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang gagal membuktikan kes terhadap Wong, 51, melampaui keraguan yang munasabah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Baharuddin Ahmad Kasim mengendalikan pendakwaan sementara Wong diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid dan Salim Bashir.

Wong membela diri atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan sekeping cek bernilai RM5,000 iaitu wang peruntukan menganjurkan perjumpaan anggota Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek di Pejabat Daerah Sepang pada 19 Feb tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi iaitu Wong dan Anggota Majlis Sepang Titus Gladwyn.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Wong membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan beliau daripada tuduhan itu yang diputuskan oleh Azhaniz Teh pada 21 April lepas.

Beliau melepas dan membebaskan Wong daripada tuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Dalam reaksinya selepas itu, Wong berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah yang masih menyebelahinya walaupun telah diarahkan untuk membela diri.

“Saya tiada niat jahat untuk menipu. Saya juga berterima kasih kepada wartawan kerana mengambil serius terhadap badan kehakiman negara kita,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.