Pelajar Malaysia didakwa kerana dadah RM43.8 juta

0

SYDNEY – Seorang rakyat Malaysia yang mendakwa dirinya pelajar, Kok Loong Wong dihadapkan ke sebuah mahkamah Australia semalam selepas polis merampas 90 kilogram dadah jenis syabu dalam satu serbuan di kediamannya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Dadah tersebut yang dianggarkan bernilai $14 juta dolar Australia (RM43.8 juta), merupakan rampasan ketujuh terbesar dalam sejarah negara itu.

Polis turut menemui wang tunai berjumlah $500,000 dolar Australia (RM1.5 juta) di kediaman lelaki itu yang dipercayai hasil penjualan sebahagian dadah berkenaan.

Polis menemui dadah tersebut di apartmen dua bilik yang dihuninya di Balirmount, barat daya Sydney selepas Kok Loong, 35, ditangkap.

“Kami mempercayai lelaki ini adalah sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah dan kami akan melakukan siasatan lanjut,” kata Komander Polis Persekutuan Australia, David Stewart.

Lelaki tersebut yang tidak memohon ikat jamin akan dibicarakan pada 16 Februari depan.

Menurut dokumen mahkamah, Loong Wong yang mengaku dirinya seorang pelajar, tiba di Australia pada Ogos lalu. - Agensi

No comments

Powered by Blogger.