Pemilihan UMNO ditangguhkan
Najib bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC malam tadi.
KUALA LUMPUR - Pemilihan UMNO bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, keputusan bersama itu dibuat bagi membolehkan UMNO memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Politik Baru iaitu bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.
"Ini merupakan peruntukan dalam Perlembagaan parti yang bukan kali pertama tetapi beberapa kali kita gunakan supaya seluruh perhatian dan tenaga kita terarah ke arah memantapkan proses penyediaan pemantapan parti kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT di sini malam tadi.
Najib berkata, UMNO juga tidak mahu menjadikan tahun depan sebagai medan pergelutan politik yang boleh menimbulkan perbalahan dalam UMNO walaupun parti yakin perkara itu dapat dibendung.
"Kita tidak mahu berlaku keadaan yang begitu tertekan seperti mana berlaku pada sebuah parti politik yang lain, jadi kita ambil keputusan supaya tangguh pemilihan berdasarkan kepada perlembagaan parti," kata Presiden UMNO itu.
Ditanya sama ada penangguhan pemilihan itu ada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 akan datang, Najib, yang menang tanpa bertanding bagi tempoh pemilihan parti 2008-2011 berkata ia bukanlah sesuatu yang baru.
"Setahu saya sudah tiga empat kali kita pakai peruntukan ini dari dulu lagi, tidak ada masalah yang aneh dan luar biasa," katanya.
Kali pertama MT UMNO menunda pemilihan parti ialah pada tahun 1999, apabila perhimpunan itu ditangguh hingga Mei 2000 bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya umum 1999.
Mengenai penyusunan semula kepimpinan UMNO peringkat negeri, Najib berkata beliau akan mengumumkan perkara itu sebelum hujung tahun ini kerana memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan beberapa pemimpin tertentu di peringkat negeri.
"Saya telah maklumkan bahawa perkara ini akan dilakukan dan diumumkan sebelum akhir tahun ini dan bukan malam ini, saya perlukan sedikit masa bersama-sama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung untuk berjumpa dan berunding dengan beberapa pemimpin di peringkat negeri untuk lebih menentukan apakah tugasan dan jangkaan terhadap mereka," katanya.
Beliau berkata, penyusunan semula itu mungkin akan membabitkan muka baru dan juga ada pemimpin yang akan dilantik semula. - Bernama
No comments
Post a Comment