Pengerusi Felda: Saya tiada impian peribadi, kata Isa

SEREMBAN, 27 Dis — Sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baru, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata impian beliau ialah memastikan badan itu terus mencapai matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan ketika menubuhkannya.

“Saya tidak ada impian peribadi, cuma saya mahu mencapai apa yang dimatlamatkan kerajaan ketika menubuhkan Felda,” katanya mengulas pelantikannya sebagai Pengerusi Felda berkuatkuasa 1 Jan 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk member perkhidmatan yang cemerlang dan efektif.

Mohd Isa, 61, menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

Bercakap kepada Bernama hari ini beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya akan cuba menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno.

Beliau merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Beliau menang besar dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Oktober 2009 mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.