PR sedia kerjasama dengan BN dalam Akta Pemulihan Demokrasi

KEPALA BATAS, 19 Dis – Pakatan Rakyat sedia menjalin kerjasama dengan Kerajaan Barisan Nasional bagi membincangkan Akta Pemulihan Demokrasi di negara ini.

Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Pakatan Rakyat bersedia mengenepikan perbezaan politik dengan BN dalam hal ini, bagi memulihkan demokrasi yang semakin tenat.

Kerjasama dwi-partisan ini menyentuh enam perkara iaitu pembatalan semua pengisytiharaan darurat, pemansuhan undang-undang anti-demokrasi, menunaikan perjanjian bersama Sabah dan Sarawak, perlaksanaan pilihanraya umum yang telus, mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan dan membebaskan media.

“Perubahan yang dicadangkan ini adalah komitmen kami dalam Pakatan Rakyat.

Perubahan ini juga adalah perkara yang mahu kita laksanakan dalam masa 100 hari dari tarikh Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia,” kata Lim Guan Eng di satu sidang akhbar hari ini.

Pakatan Rakyat akan mengadakan kempen mengumpul satu juta tandangan rakyat menyokong pembentangan Dwi-Partisan ini kepada Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong.

Sementara itu, ketika ditanya wartawan apakah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pembatalan Darurat adalah strategi menghadapi Barisan Nasional dalam PRU-13, Presiden PAS menafikan perkara itu.

“Cadangan memansuhkan ISA dibuat kerana ia adalah yang terbaik untuk negara. Kita tidak boleh mewujudkan satu undang-undang untuk menghukum jenayah yang belum berlaku,” jawab Hadi.

“Kita dapat lihat undang-undang seperti ISA misalannya digunakan bukan untuk keselamatan negara, sebaliknya untuk mengekalkan kuasa pemerintah,” tegas beliau.

Semntara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menambah darurat diumumkan sebanyak empat kali, dari kebangkitan insurgensi komunis, kepada Konfrontasi Malaysia-Indonesia, dan akhirnya sekali Darurat di Kelantan.

“Tetapi ancaman-ancaman yang dikatakan wujud pada ketika itu tidak lagi wujud sekarang ini. Kerajaan Pusat perlu mengakui perkara ini, dan membatalkan semua pengisytiharaan Darurat,” kata Kit Siang.

No comments

Powered by Blogger.