Propaganda BN selama ini punca DAP tak boleh dekati PAS

Adun Teratai, Jenice Lee Yin Ha antara pemimpin muda DAP yang dipilih masyarakat untuk membawa hala tuju dan perubahan. Bukan sahaja terbuka, tetapi melihat politik baru memerlukan PAS sebagai rakan strategik untuk bekerjasama. Pengarang Berita, TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan Harakah, NYZA AYOB dan SALMIYAH HARUN menelusuri pandangan beliau tentang hubungan PAS-DAP yang kian segar dan dibimbangi Umno-BN, dalam satu interbiu


Tertarik dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008. DAP dan PAS terpaksa bekerjasama atas kehendak rakyat pada waktu itu. Ini berlaku di Perak sehingga terbentuknya Pakatan Rakyat. Bagaimana YB melihat perkembangan ini, sedangkan PAS-DAP sukar duduk semeja sebelum 2008?

JENICE LEE: Sebelum 2008 kita tidak boleh duduk bersama tetapi yang penting kita sudah bekerjasama. Sebagai contoh di kawasan parlimen Pandan kita sudah bekerjasama menubuh satu gabungan DAP, KeADILan dan PAS. Kita juga telah melancar program bersama-sama contohnya pendaftaran pengundi dan program Bersih. Kita memang sudah bekerjasama di kalangan akar umbi walaupun di kalangan pemimpin parti masing-masing nampak seperti tidak bekerjasama. Pada masa itu, kerjasama daripada segi taktik dan strategi saja... sebab ada silap faham antara DAP dan PAS. Mungkin pada masa itu tidak bekerjasama adalah sesuai. Tetapi selepas PRU 12 kita nampak rakyat boleh terima dan kita boleh berkawan baik dalam banyak aspek. Jadi kita boleh bergabung bersama.

DAP pernah meninggalkan Barisan Alternatif (BA) sebelum itu, gara-gara pelbagai tuduhan atas kerjasama dengan PAS, antaranya. Apa yang tak kena, pada pandangan YB tentang hubungan PAS-DAP waktu itu?

Pada waktu itu, daripada segi kertas undi nampak kurang dan ahli akar umbi juga bertanya kenapa bekerjasama dengan PAS dan kenapa kita kalah dalam beberapa kerusi? Pada masa itu kaum Cina misalnya tidak dapat terima apakah itu PAS. Timbul difikiran mereka apakah PAS hanya mengutamakan pengundi Islam sahaja? Begitu juga di kalangan pengundi Melayu mereka tertanya-tanya apakah yang pemimpin DAP lakukan. Apakah perjuangan untuk orang Cina sahaja atau DAP hendak mengambil kuasa? Pada masa itu boleh dikatakan tidak sesuai untuk kita bekerjasama. Ketika itu ahli-ahli DAP ramai yang mendesak agar DAP berpecah daripada BA supaya kita (DAP) boleh mengekalkan kerusi yang ada. Situasi itu menyebabkan DAP terpaksa membuat pilihan. Tetapi sekarang rakyat makin faham dan kita tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PAS atau KeADILan. Boleh dikatakan keadaan ini 'natural develoment'. Walau bagaimana pun, kita di kalangan (peringkat) akar umbi sudah pun bekerjasama sebelum 2008 lagi.

Baik... Isu 'Negara Islam' sering menjadi 'hantu' yang menakutkan beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Bagaimana YB melihat isu ini memberi kesan buruk kepada pengaruh DAP?

Sebahagiannya ada memberikan kesan buruk. Sebab kita mempunyai tradisi dan budaya masing-masing. Kita boleh terima kalau Islam itu 'moderate' dan tidak terlalu agresif seperti terorist atau Taliban. Perkara seperti ini menakutkan orang ramai termasuk orang Islam sendiri. Jika agama digunakan untuk 'dictatorship' kita tidak boleh terima sebab kita selalu fikir negara kita sekular. Kita boleh terima apa-apa agama tetapi daripada segi imej hendaklah agak 'moderate' dan sekular boleh diterima orang ramai. Ini kerana mereka takut kehidpan mereka terancam dan harus ditukar kerana harus menerima agama ini. Sebenarnya kita ingin menganjurkan satu dialog bagi membolehkan antara kaum dan agama memahami. Tetapi apabila kita ingin cuba buat di kalangan 'civil society', selalu dihentikan oleh BN sebab BN tidak mahu kita faham antara satu sama lain.

Selepas PRU 2008, hubungan PAS-DAP cukup intim dan sihat sekali sehingga ke hari ini. Apa yang mendorong DAP boleh menerima dasar-dasar PAS yang sebelum ini cukup menakutkan DAP?

Ada beberapa perkara yang menakutkan kami seperti hukuman hudud. Kita sudah ada banyak kes, mangsa difitnah dan dihukum. Jadi, jika ini dijalankan mengikut hukum hudud, bagaimana kita boleh sifatkan itu sebagai keadilan? Kita boleh terima jika hukuman lain dikenakan dan bukan dengan potong tangan. Tetapi, daripada segi ekonomi Islam, saya dapat terima kerana segala keuntungan dikongsi bersama, itu memang bagus. Saya rasa ini untuk menjaga mereka yang berpendapatan rendah serta memelihara keharmonian.

Pendapat YB sendiri, tentang Islam yang diperjuangkan PAS sekarang? Bagaimana?

Pada pandangan saya di dalam PAS terdapat dua bahagian. Satu bahagian dia sekular dan moderate dan satu bahagian lagi mempunyai pandangan berlainan. Saya berharap jika kita ingin mendekati hati semua rakyat tidak kira bangsa, kaum atau agama, jalan sekular itu harus diutamakan. Sebab dalam negara kita bukan hanya satu kaum dan agama. Ada pelbagai kaum dan agama termasuk Iban dan Kadazan. Jika kita hanya memilih jalan ekstrim, kita mungkin tidak dapat undi dan hanya mendapat sebahagian undi. Sekarang ini kita mempunyai banyak informasi dalam globalisasi. Semua rakyat boleh akses bagaimana rakyat negara lain memajukan negara mereka. Jika kita masih kekalkan minda kita dalam aspek yang kecil, sukarlah untuk kita memimpin seluruh negara. Kenapa negara kita boleh maju begitu cepat pada tahun 70an? Ini kerana kita dapat menerima apa-apa agama dan budaya pada masa itu. Selepas 80an keadaan berubah. Saya rasa jika kita ingin menjadikan sebuah negara maju, polisi dilaksanakan haruslah 'moderate'.

Sebelum DAP-PAS bekerjasama, apa persepsi YB terhadap PAS walaupun sama-sama pembangkang...

Secara peribadi, saya memang tidak mempunyai masalah daripada segi kerjasama ini. Tetapi mungkin orang ramai tidak faham. Sebab jika kita lihat media, terutama media berbahasa Cina melaporkan berkenaan orang Cina dan agama Budha atau Kristian. Akhbar berbahasa Melayu pula lebih menonjolkan masyarakat Melayu dan Islam. Media sepatutnya memainkan peranan penting menyemarakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Jika ia dapat digabungkan, ia membawa mesej jelas kepada rakyat. Tetapi saya melihat media Cina amat dinamik selepas PRU ke-12. Laporannya telah menunjukkan masyarakat berbilang kaum. Akhbar berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris agak lambat sedikit.

Kejutan beberapa pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming membaca surah al-Quran sehingga menimbulkan kontroversi dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang. Situasi ini membuka lembaran baru politik Malaysia. Apa reaksi YB ketika itu?

Bagi saya ia tidak menimbulkan apa-apa masalah. Saya boleh pergi ke masjid, ke gereja atau ke tokong. Saya rasa sebagai ahli politik saya mewakil semua agama. Saya selalu cakap kepada orang ramai, walaupun saya berbangsa Cina, saya selalu mengatakan saya berbangsa Malaysia. Sebab saya lahir di sini. Kenapa kita perlu ada perbezaan bangsa dan agama? Bagi saya jika kita asingkan seperti Islam untuk Islam sahaja dan Kristian untuk Kristian sahaja, 10 tahun atau 100 tahun pun orang tidak akan faham. Itulah punca orang tidak faham dan akan timbul konflik. Sebagai contoh orang Islam dan Yahudi tidak makan babi manakala orang Hindu tidak makan lembu. Jadi kita kena faham perkara ini. Isu seperti membaca surah al-Quran ini tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada DAP.

Ramadan lalu, timbul isu "Guan Eng ganti doa Agung" dan "YB Teo masuk surau". Ini percubaan Umno-BN nak laga-lagakan PAS-DAP. Nak burukkan PAS pada mata orang Islam. Apa reaksi masyarakat Cina terhadap isu ini?

Saya sendiri sudah berapa kali masuk masjid dan surau termasuk bekerjasama dengan sekolah agama. Saya rasa langsung tidak timbul masalah. Hanya sesetengah pihak sahaja mempolitikkan perkara ini. Jika saya ingin menjadi seorang muslim, saya haruslah memahami tentang Islam. Barulah saya boleh masuk Islam. Begitu juga dengan Kristian. Jika saya tidak mengetahui dan memahami, bagaimana saya boleh menjadi pengikut agama tersebut. Isu doa untuk Lim Guan Eng timbul kerana Umno yang manipulasi. suatu ketika dahulu sewaktu Teresa Kok ditahan ISA, saya juga bekerjasama dengan masjid melakukan solat hajat. Sebab saya rasa untuk semua agama, sembahyang dan doa itu 'blessing' tidak mengira kaum. Bagi saya jika seseorang itu berbakti kepada masyarakat, tidak ada salahnya untuk kita mendoakan untuknya. Perkara ini hanya dipolitikkan BN sahaja.

YB ada mengatakan YB turut masuk ke masjid dan surau. YB sendiri juga terpalit dengan isu "merasmikan musabaqah al-quran" di Dun Teratai. Apa yang Umno cuba bangkitkan terhadap YB dalam isu ini?

Pada masa itu memang ada kain rentang yang mengajak orang ramai menyertai musabaqah tersebut. Umno melalui surat khabar rasminya Utusan Melayu ambil gambar kain rentang itu serta menimbulkan persoalan bagaimana bukan Melayu boleh merasmikan program musabaqah? Kononnya dia hendak 'provoke' tetapi tidak menjadi kerana saya rasa orang ramai sudah faham. Saya bagi sumbangan dan saya harapkan masyarakat menyertai program tersebut. Umno juga ada hantar "SB" mereka dan ada yang merakamkan program tersebut. Memang tidak timbul isu cuma Umno sahaja menjadikannya satu isu bagi menunjukkan kehebatan mereka dalam membela Islam.

Adakah YB bersetuju generasi muda seperti YB Teo Ning Ching, YB Nga Kor Ming, YB Tony Pua dan lain-lain, lebih terbuka dan boleh menerima PAS berbanding beberapa pemimpin tertinggi DAP sebelum ini? Kenapa?

Dalam satu parti, terdapat pelbagai pemikiran dan pandangan. Sebab kita generasi baru dan generasi reformasi, saya berpendapat sebagai rakyat Malaysia saya tidak mempunyai sebarang masalah. Mungkin seorang dua sahaja dalam parti tidak boleh terima. Tetapi Lim Kit Siang sendiri baik dengan Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat) serta Anwar Ibrahim. Saya rasa kerjasama mereka lebih efisyen. Seperti isu pemimpin DAP masuk ke surau, Nik Aziz juga mengeluarkan kenyataan perkara tersebut tidak menimbulkan masalah. Sebagai contoh apa yang berlaku pada Dato' Seri Nizar (Jamaluddin) di Perak, kita juga membantu beliau dalam kemelut tersebut.

Tapi PAS juga terus terusan dituduh 'Boneka DAP' dan ia semacam sukar ditangkis... YB rasa macama mana?

Akhbar Melayu mengatakan PAS boneka DAP. Akhbar berbahasa Cina pula mengatakan DAP anak suruhan KeADILan. Sebab itu saya katakan media yang memainkan peranan penting membangkitkan perkara seperti ini. Akbar cuba 'brainwash' orang ramai. Saya rasa untuk mengatasi perkara ini, akhbar alternatif seperti Harakah perlu memainkan peranan ini supaya mereka tahu pihak mana yang benar.

Apa harapan saudari terhadap hubungna PAS-DAP yang kian utuh, initp dan mesra bagi iklim politik baru yang segar di negara ini pada masa depan?

Pada masa ini kita dalam formula satu budaya Pakatan Rakyat. BN sudah mempunyai satu budaya iaitu kronisma dan koropsi. Budaya parti itu 'duit boleh melakukan apa sahaja'. Tapi di kalangan Pakatan Rakyat apa yang saya pentingkan ialah 'filosophy' politik. Adakah pemimpin kita faham halatuju kita dan cara-cara kita hendak menjadi kerajaan. Walaupun pembangkang, kita (PR) mempunyai hala tuju yang jelas untuk rakyat. Adakah kita bersedia apabila dilantik sebagai YB, kita membawa 'filosophy' untuk Pakatan Rakyat?

No comments

Powered by Blogger.