PRU dijangka berlangsung serentak pilihan raya negeri Sarawak

Oleh Wong Shu Qi

Pengumuman penangguhan pemilihan kedua-dua parti komponen terbesar Barisan Nasional, UMNO dan MCA telah mengundang ramalan bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun depan.

Seandainya begitu, maka percaturan strategi Perdana Menteri Najib Razak adalah untuk memecah-belahkan kekuatan Pakatan Rakyat di Sarawak, untuk mengelakkan keputusan pilihan raya Sarawak daripada mempengaruhi peratus kemenangan BN dalam PRU yang akan datang.


Secara jujur Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak Baru Bian (gambar kiri) berkata, beliau tidak berharap PRU diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Tetapi, "Saya juga tidak terperanjat seandainya BN mengadakan kedua-dua pilihan raya serentak," katanya Baru Bian.

Baru Bian hanya mengetahui bahawa MCA bakal menangguhkan pemilihan partinya pada tahun depan, menyusul jejak langkah UMNO ketika dihubungi MerdekaReview. Beliau mengakui bahawa perkembangan ini sememangnya petanda di mana kedua-dua pilihan raya ini akan diadakan serentak.

Pada pendapat Baru Bian, Najib berhasrat untuk mengadakannya serentak, tetapi jelas Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud tidak berniat sebegitu. Namun, Baru Bian menyimpulkan perkembangan terbaru bahawa kedua-dua pihak Najib dan Taib Mahmud kelihatan telah mencapai muafakat untuk mengadakan pilihan raya serentak.

Sarawak mempunyai 32 kerusi parlimen, daripada jumlah 222 kerusi dalam Dewan Rakyat. BN kini memiliki 137 kerusi, sementara Pakatan Rakyat bersama PSM memiliki 77 kerusi, dan lapan orang ahli parlimen "bebas".

Pilihan raya negeri Sarawak ke-sembilan diadakan pada 20 Mei 2006, maka pilihan raya yang akan datang harus berlangsung sebelum 20 Mei 2011. Seandainya PM Najib mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya serentak, maka PRU mungkin akan jatuh antara Mac dengan Mei tahun depan.

"Tidak menolak sebarang kemungkinan"

Pada masa yang sama, ahli parlimen Bukit Bendera-DAP Liew Chin Tong masih meragui kenyataan sama ada langkah PRU semakin menghampiri, atau sama ada ia akan diadakan serentak, tetapi beliau menekankan bahawa beliau "tidak menolak sebarang kemungkinan".

Liew Chin Tong berkata, berikutan pengumuman penangguhan pemilihan parti UMNO dan MCA, maka seandainya kekuatan PR terjejas dalam jangka ini, maka BN boleh "mengambil kesempatan" untuk mengadakan PRU.

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Abdul Halim Abdul Rahman pula secara peribadi menjangkakan bahawa BN akan mengadakan PRU serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Beliau mengingatkan, penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan tidak semestinya bermaksud PRU akan jatuh pada tahun 2011, "mungkin tahun 2012, malah tahun 2013."

Walaupun PAS telah menyeberang ke Sarawak, namun Abdul Halim Abdul Rahman (gambar kanan) mengakui bahawa kekuatan PR di Sarawak masih belum cukup untuk menumpaskan BN di sana.

Presiden UMNO Najib Razak mengumumkan penangguhan pemilihan UMNO pada 30 November. Menurut perlembagaan parti UMNO, pemilihan parti boleh ditangguhkan selama 18 bulan. Pemilihan UMNO dijadualkan berlangsung pada tahun depan, dan kini UMNO perlu mengadakan pemilihan selewat-lewatnya April 2013, lantaran daripada pengumuman penangguhan tersebut.

Penangguhan memerlukan alasan yang kukuh

Di samping itu, pemerhati politik Tang Ah Chai turut mengakui bahawa adanya "kemungkinan" di mana PRU diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak. Meskipun kedua-dua PRK baru-baru ini tidak dapat mencerminkan sepenuhnya bahawa sokongan pengundi telah kembali kepada BN, namun Tang Ah Chai mengingatkan bahawa BN meraih undi sekali ganda lebih daripada keputusan PRU yang lalu.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Tang Ah Chai menyifatkan penangguhan pemilihan parti sebagai satu keputusan yang "luar biasa". MCA hanya boleh mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan dengan "alasan yang kukuh". "Jika hanya diputuskan secara bersahaja, maka pemimpin yang akan datang boleh menangguhkan pemillihan sewenang-wenangnya."

Tang Ah Chai berpendapat bahawa MCA mungkin tidak mengetahui dengan tepat tarikh PRU berlangsung, tetapi mungkin telah menerima khabar tertentu untuk membuat keputusan yang "luar biasa" Ini.

Menurut analisa Tang Ah Chai, pemilihan parti ditangguhkan kerana kemunculan persaingan antara sekta, sehingga pertentangan dalam parti terdedah dan diambil kesempatan oleh musuh politik. Namun, beliau menganggap penangguhan pemilihan parti bukan sesuatu yang normal, kerana negara akan mengadakan PRU hampir setiap lima tahun. Jadi, parti politik tidak seharusnya menangguhkan pemilihan parti hanya kerana PRU.

Siapa tawan Sarawak, Putrajaya miliknya

Sarawak dianggap "deposit tetap' BN selama ini, sehingga PRK Sibu pada Mei tahun ini. Baru Bian menyifatkannya sebagai "sesiapa yang mampu menawan Sarawak, maka Putrajaya menjadi miliknya."

Dalam temuramah bersama MerdekaReview, Baru Bian menganggap pilihan raya serentak semestinya memberi kesan untuk kempen PR. Tetapi beliau juga mengingatkan, kerajaan negeri PR telah mengumumkan bahawa kerajaan PR tidak semestinya membubarkan DUN serentak dengan pembubaran parlimen, sebaliknya akan membubarkan DUN setelah genap lima tahun.

Justeru itu, Baru Bian berkata, "Masih ada Menteri Besar, Ketua Menteri dari Semenanjung datang untuk berkempen di Sarawak."

Baru Bian mengakui bahawa PKR kini perlu bersiap sedia untuk kedua-dua PRU dan pilihan raya Sarawak. Tetapi dalam soal calon, secara berseloroh Baru Bian berkata, "Lebih mudah untuk memilih calon seandainya pilihan raya diadakan serentak, kerana lebih kerusi untuk diagihkan."

Beliau menafikan bahawa ramai orang berebut-rebut untuk bertanding. "Kami mahu calon yang berkualiti," kata Baru Bian yang tidak bimbang dengan keadaan "lebih kerusi dari calon".

*Wong Shu Qi ialah Wartawan Senior MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

1 comment

SUARA RAKYAT KUNAK said...

Salam Bro, sebenarnya Parti UMNO bukan Parti terbesar di Malaysia, sebab tak dapat masuk ke Negeri Sarawak, Parti Terbesar di malaysia, ialah, PKR, PAS dan DAP, kerana ada di setiap Negeri Negeri di Malaysia termasuk di Sarawak

Powered by Blogger.