Ronnie Liu : Selangor tangguh larang sementara logo 1Malaysia

SHAH ALAM, 25 Dis – Kerajaan Selangor menangguhkan pelaksanaan melarang kesemua majlis-majlis tempatan meletakkan logo 1 Malaysia sebagai bahan iklan dipremis perniagaan sehingga notis selanjutnya.

Exco Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri Selangor Ronnie Liu dipetik berkata, penanggguhan ini dibuat berikutan kekeliruan mengenai takrif logo 1 Malaysia yang disifatkan sebagai propaganda Barisan Nasional pada bahan iklan.

“Masih terdapat perkara yang samar-samar tentang apa dianggap sebagai aksi penarik publisiti oleh BN dan apa yang bukan,” kata beliau memetik laporan portal Malaysiakini.

Menurut Ronnie, banyak majlis-majlis tempatan masih kurang jelas tentang bentuk pengiklanan yang dilarang.

Beliau menambah, satu kajian semula akan dibuat pada mesyuarat exco negeri Selangor selepas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kembali dari percutian dijangka pada awal Januari depan.

“Buat masa sekarang saya cadangkan agar semua majlis tempatan menangguhkan dahulu penguatkuasaan menurunkan logo 1 Malaysia,” ujar Ronnie yang bagaimanapun melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu bahawa Majlis Daerah Sabak Bernam menguatkuasakan larangan itu sejak Jun tahun ini.

“Setakat ini hanya Majlis Daerah Kuala Langat telah mula membuang beberapa papan-papan iklan dengan logo 1 Malaysia pada mereka,” katanya.

Ronnie juga mendesak supaya Sabak Bernam menangguhkan penguatkuasaan larangan logo 1 Malaysia.

“Saya tidak rasa mereka (Sabak Bernam) telah melaksanakannya, saya masih boleh lihat banyak logo 1Malaysia di tempat itu,” katanya.

Sebelum ini kerajaan Selangor dilaporkan melarang penggunaan logo 1 Malaysia kerana melanggar peraturan kecil kerajaan tempatan dan merupakan mesej politik Barisan Nasional.

Larangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kerajaan Barisan Nasional dengan mengatakan ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang menasihati agar kerajaan Selangor mempertimbangkan semula keputusan melarang penggunaan logo 1 Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.