Salah Satu Dosa Besar Kata Najib Rosmah

'1Malaysia diciplak dusta besar'

Oleh Nazura Ngah dan S Anand Kumar


Najib terkilan tuduhan pembangkang, negara melangkah berdasar realiti

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, dakwaan kononnya konsep 1Malaysia diciplak daripada negara lain adalah satu pendustaan besar.
Sambil menzahirkan rasa terkilan atas tuduhan itu, Perdana Menteri berkata, ia adalah ciptaan sendiri dan beliau bertanggungjawab terhadap konsep berkenaan.

“Ini bukan ciplak daripada negara lain, ini ciptaan kita sendiri. Negara lain boleh ada ‘one’ ini ‘one’ itu, tetapi tidak ada negara lain yang ada 1Malaysia – Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tritahunan Cuepacs kali ke-25, di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaysia, di sini, semalam.

Najib sebelum ini dibidas pembangkang, terutama Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan, melalui firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide menciplak konsep 1Malaysia, berdasarkan konsep One Israel yang dicipta syarikat itu untuk Israel pada 1999.

Dakwaan itu menyebabkan Anwar digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati dakwaan itu tidak benar.

Selain Anwar, tiga lagi anggota Parlimen pembangkang, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) menerima nasib sama selepas didapati menghina dewan atas isu sama.
Mengulas lanjut Najib berkata, negara melangkah berdasarkan realiti dan bukan berdasarkan sesuatu yang menjadi igauan atau direka.

“Mereka cuba memperdagangkan apa yang kita reka, tetapi nyata sekali tidak berpijak di bumi nyata. Saya sebut perkara ini sebab amat mudah untuk kita membuat sesuatu sebagai politik janji, tetapi apakah politik itu berdasarkan pendekatan amat populis yang akhirnya akan menguntungkan kita atau sebaliknya,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.