Selangor mulakan usaha menukar taraf snuker ke sukan

Snuker telah menjadi sukan antarabangsa

SHAH ALAM 21 Dis - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Selangor mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengeluarkan aktiviti snuker daripada kelas hiburan seperti termaktub dalam Enakmen Hiburan.

Menurut EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu, sebelum ini kabinet juga telah menyarankan supaya mengeluarkan aktiviti snuker daripada kelas hiburan memandangkan sukan snuker turut dipertandingkan di arena antarabangsa.

“Tetapi pada masa yang sama kita dapati dalam Akta Hiburan, khasnya akta-akta percukaian dan sebagainya, snuker masih dikelaskan di bawah hiburan.

“Sebelum ini kabinet ada membuat saranan untuk keluarkan snuker daripada hiburan tetapi akta itu tidak ditukar, belum ada pindaan dibuat untuk akta itu’” kata beliau dalam satu sidang media di I-City, Shah Alam petang tadi.

Katanya lagi, walaupun kerajaan Selangor berhasrat untuk mengeluarkan snuker daripada dikelaskan sebagai hiburan, tetapi langkah itu bercanggah dengan akta-akta semasa.

“Percanggahan ini menyebabkan kita ambil masa untuk buat kertas kerja, tinjauan, kajian dan sebagainya, kerana itu, ’status quo’ untuk semua pusat snuker di PBT masing-masing dikekalkan,” jelas beliau lagi.

Ronnie seterusnya berkata, buat masa ini tiada pindahan dibuat atas proses percukaian dan perlesenan kepada kesemua pemilik pusat snuker negeri Selangor.

“Jadi semua pengusaha yang terlibat jangan risau, kita akan gunakan cara yang lama sehingga kita ada cara baru.

“Maka dari segi perlesenan, deposit dan sebagainya dikekalkan sehingga kita ada keputusan yang baru,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.