S'gor destinasi pelaburan, infrastruktur bagaimana?

Mohd Khairulnizam Mohd Hatta

Tergerak hati saya untuk memberi pandangan setelah membaca artikel "Selangor Kekal Destinasi Pelaburan Utama" di www.malaysiakini.com pada 15 Disember 2010 yang lalu.

Dikatakan dari bulan Januari hingga September yang lalu, prestasi pelaburan negeri Selangor sangat baik dan memberansangkan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah RM6.533 billion.

Sungguhpun angka pelaburan kini telah meningkat, apa yang menjadi tanda tanya di dalam hati saya adalah, infrastruktur yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor pada masa kini, adakah ia cukup membanggakan?

Tidak perlu melihat jauh ke kawasan pedalaman atau di hujung-hujung negeri berkenaan, cukup sahaja kita pandu kenderaan dan merentasi Bandaraya Shah Alam, Ibu Negeri Selangor yang dikatakan sebuah kawasan perindustrian utama di dalam negeri ini.

Terlalu banyak jalan yang tak diturap dengan baik, berlubang-lubang dan ia boleh mendatangkan bahaya bagi pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Jalan-jalan yang saya maksudkan di sini, bukan sahaja di kawasan-kawasan kilang malahan di kawasan perumahan juga sedemikian rupa. Apakah ini yang dikatakan pencapaian yang membanggakan? Tepuk dada, tanyalah selera.

Adakah wakil rakyat kawasan ini, tidak pernah lalu menjenguk kawasan beliau? Adakah hendak tunggu rakyat berdemo untuk memastikan jalan-jalan diturap dan dibaiki?

Kembalikan imej Bandaraya Shah Alam yang seharusnya menjadi contoh terbaik kepada ibu negeri lain di Malaysia ini.

No comments

Powered by Blogger.