SnoWalk Bakal Menjadi Tarikan Utama I-City

http://www.selangorkini.com.my/my/wp-content/uploads/2010/12/roni.jpg


Ronnie ketika melawat ‘SnoWalk’ yang masih dalam pembinaan

SHAH ALAM 22 Dis - Sambutan tahun baru di I-City dijangka lebih meriah daripada tahun sebelum ini dengan tambahan satu lagi taman bertemakan salji yang dijangkakan akan dibuat kepada umum sebelum sambutan tahun baru pada minggu hadapan.

Media dan ahli majlis berkuasa tempatan (PBT), diberi penghormatan untuk melihat sendiri ‘SnoWalk’, iaitu taman berkonsepkan salji dan ais merangkumi kawasan seluas 50 ribu kaki persegi.

EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, ‘SnoWalk’ ini bakal menjadi tarikan utama, di mana para pengunjung dapat merasai sendiri kedinginan salji.

“Di pintu utama SnoWalk, terdapat mesin yang boleh menghasilkan salji dan para pengunjung akan dihujani dengan salji sebelum memasuki ruang pameran salji dan ais,” jelas beliau sambil menunjukkan kawasan sekitar.

Katanya lagi, ruang utama SnoWalk sentiasa dikekalkan dalam suhu bawah paras beku, iaitu pada -5 darjah Celsius dan para pengunjung akan diberikan kot tahan suhu semasa melawat SnoWalk.

Setiap tiket membenarkan pengunjung untuk berada di dalam taman Snowalk selama sejam di mana disediakan pelbagai bentuk permainan ais bagi hiburan pengunjung, di samping pertunjukan lampu LED dan arca ais.

SnoWalk dijangka dibuka pada hari pertama sambutan Ambang Tahun baru 2011, iaitu bermula 29 Disember anjuran I-City, sebagai sebahagian daripada kempen sosial.

Sambutan Ambang Tahun Baru yang bermula 29 Disember akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan akan berterusan sehingga tengah malam 31 Disember, iaitu sambutan tahun baru.

Antara acara yang dijangkakan akan memeriahkan lagi sambutan tiga hari ini ialah tarian naga, pertunjukan para pelajar sekolah-sekolah Cina Klang, Gendang 24 Musim, Pertunjukan Kavali, Orkestra Cina dan pertunjukan yoyo tradisi kaum Cina.

Seperti tahun sebelumnya, acara tahun ini juga akan dimeriahkan lagi dengan pertunjukan bunga api anjuran I-City bagi menandakan bermulanya tahun baru pada 12 malam 1 Januari, 2011 nanti.

No comments

Powered by Blogger.