SPRM nafi tuduhan bekas pegawai Sime Darby didera

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan peguam bekas pengurus kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering pagi tadi yang mendakwa telah didera semasa dalam tahanan reman.

“Untuk makluman, semasa permohonan dibuat untuk menyambung reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 20 Jun 2010, tiada sebarang aduan dibuat oleh tertuduh berhubung deraan mahupun kecederaan dimaklumkan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang,” kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Suruhanjaya itu juga berkata tertuduh, Mazhazmi Jamaludin kemudian telah dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Putrajaya pada 22 Jun lalu sejurus sebelum dilepaskan daripada tahanan reman.

Katanya, langkah itu dibuat untuk memastikan mana-mana orang yang ditahan reman oleh SPRM berada dalam keadaan sihat dan tidak cedera sepanjang tempoh reman.

“Hasil pemeriksaan doktor pada tarikh yang sama telah mengesahkan bahawa tertuduh adalah sihat dan tidak menunjukkan sebarang kesan dan tanda-tanda kecederaan mahupun luka pada tubuh-badan tertuduh,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM berkata akan membuat laporan polis berhubung tohmahan tersebut selewat-lewatnya hari ini.

Pagi tadi, Mazhazmi Jamaludin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima RM200,000 berhubung penglibatannya di dalam penjualan dan pembinaan ‘‘Barge’’.

Mazhazmi didakwa melakukan kesalahan itu sebagai upah untuk mencadangkan MLC Shipbuilding Sdn Bhd mendapat kontrak ‘‘Construction and Sale of one Derrick Lay Barge (Hull No MLC 12888), Constructution and Sale one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75083 dan Construction and Sale of one (1) unit 75M (Wartsila 8000bhp) Anchor Handling Tug/Supply Vessel Hull No 75084’’ yang bernilai AS$134.2 juta.

Dia didakwa menerima wang tersebut bagi mengesahkan bayaran tertentu bagi pembinaan satu unit Derrick Lay Barge Hull No MLC 12888 dan dua unit Anchor Handling Tug/Supply Vessels Hull No 75083 dan 75084.

Mazhazmi didakwa menerima wang itu daripada pemilik syarikat MLC Shipbuilding Sdn Bhd Redzuan Goh Mohammed Karian.

Bagi kesalahan itu Mazhazmi didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun minimum 14 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili Mazhazmi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah didera ketika disoal oleh SPRM.

Katanya tertuduh yang pada awalnya dipanggil memberi keterangan sebagai saksi telah dibogelkan dan dipaksa berdiri dengan sebelah kaki sahaja ketika di soal.

Mazhazmi katanya turut dilontar dengan kata-kata kesat sehingga beliau tertekan dan akhirnya memberi keterangan sepertimana yang diinginkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Anthony Kevin Morais berkata sekiranya penderaan itu benar-benar berlaku, Mazhazmi sepatutnya melaporkan kepada pihak polis sebelum prosiding hari ini kerana penyiasatan terhadapnya selesai pada Jun lalu.

No comments

Powered by Blogger.