Sultan berkenan bertemu Pimpinan PAS Negeri

http://www.selangorkini.com.my/my/wp-content/uploads/2010/12/pas-sultan1.jpg

SHAH ALAM, 14 Dis – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah sudi bertemu pimpinan PAS negeri bagi mendapat maklum balas isu-isu penting menyentuh hal ehwal Islam dan Melayu, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Beliau berkata, keterbukaan pihak istana memberi laluan kepada pimpinan PAS mengadakan perbincangan mengenai perkara terbabit dinyatakan selepas rombongan badan perhubungan PAS itu menghadap baginda di Istana Kayangan semalam.

“Dalam pertemuan tersebut baginda mengambil kesempatan menasihatkan pimpinan PAS selangor, ahli-ahli dan penyokong supaya memahami sejarah dan Perlembagaan Negara dan Negeri.

“Baginda dukacita apabila akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan hal-hal mengenai Islam, keistimewaan orang Melayu dan pelbagai peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Begitu juga undang-undang tubuh negeri yang perlu dihayati kerana di dalamnya mengandungi tatacara dan prosedur mengenai beberapa perkara yang telah dimuktamadkan dan perlu dipertahankan,” kataAhli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Dr Hassan berkata, pertemuan semalam turut membincangkan hal-hal berkaitan pentadbiran dan pembangunan Selangor, khususnya mengenai kemajuan Islam dan kaum Melayu di negeri ini.

“PAS juga telah menerangkan kepada baginda mengenai kemajuan Islam ini sejak ditadbir oleh Pakatan Rakyat (Pakatan), di mana masjid dan surau semakin makmur dimeriahkan dengan ceramah dan kuliah dan lain-lain aktiviti melibatkan anak-anak kariah.

“Baginda juga dimaklumkan tentang program Sahur Perdana yang disertai hampir 10,000 orang di Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam yang diadakan penghujung Ramadan lalu,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.