Tengku Mahkota Pahang dimasukkan ke HTAA akibat pendarahan hidung

BENTONG, 18 Dis — Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan Jumaat lalu akibat pendarahan hidung, berada dalam keadaan stabil.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga hari ini, Tengku Abdullah masih menerima rawatan di Wad Diraja hospital berkenaan.

Beliau berkata baginda tidak perlu dibedah namun memerlukan rehat yang cukup sebelum memulakan sebarang tugas rasmi dan harian.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail bahawa baginda dimasukkan ke HTAA selepas mengadu berlaku pendarahan di hidungnya Jumaat lalu, walau bagaimanapun, baginda kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas program bersepadu memperkasakan komuniti di Felda Lurah Bilut di sini hari ini.

Liow yang akan menziarahi Tengku Abdullah esok, berkata pendarahan itu mungkin berlaku disebabkan kesibukan dan jadual tugasan padat baginda, termasuk di luar negara.

Khamis lalu, ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di Pekan, Tengku Abdullah memaklumkan pemberita bahawa hidung baginda berdarah semasa berada di Guangzhou, China.

Baginda turut memaklumkan keadaan itu berlaku mungkin disebabkan perubahan cuaca di sana. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.