Tiada Nas tidak boleh lantik bukan Islam sebagai peguam syarie

SHAH ALAM, 18 Dis – Tiada dalil yang mengatakan orang bukan Islam tidak boleh dilantik sebagai peguam syarie dalam Mahkamah Syariah, dakwa bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi Selangorkini.

“Dari segi nas Islam tidak pernah ada yang menyatakan bahawasanya orang bukan Islam tak boleh menjadi peguam syarie, tidak ada apa-apa nas dalam hal itu, hanya berdasarkan kepada sentimen agama kemelayuan di Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau turut menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam tidak boleh melihat orang bukan Islam lebih tinggi dari orang Islam, sedangkan dalam perlantikan menteri-menteri dan pegawai kerajaan yang bukan Islam tidak menggunapakai sistem tersebut.

Menurut Asri lagi, hanya hakim yang berhak menentukan keputusan sesuatu perbicaraan samada ia benar ataupun tidak.

“Bukan dia yang menentukan hukum, yang akan menentukan adalah hakim, penghujahan seorang peguam dalam sistem yang moden ini terikat kepada enakmen-enakmen yang ada samada dia Islam ataupun bukan Islam, maka dia bukan penentu tapi hakim yang Islam itu menentukan,” katanya.

Dr Asri yang mengulas kenyataan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang membuat keputusan menolak sebarang pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie.

Alasan yang mereka berikan, peguam bukan Islam tidak boleh membela orang Islam di Mahkamah Syariah kerana mahkamah tersebut khusus untuk orang Islam sahaja dan seseorang yang mahu menjadi peguam syarie perlu berkemampuan untuk mengetahui syariat-syariat Islam.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan sebulat suara itu diambil dengan mengambil kira beberapa perkara utama yang tidak melayakkan individu bukan Islam untuk menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Menurutnya, dari segi teknikal, jika peguam bukan Islam sewaktu perbicaraan melakukan kesalahan menghina mahkamah, dia tidak boleh diadili dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

”Kita tidak boleh bicara peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah kerana mahkamah ini khusus untuk orang Islam,” katanya selepas mempengerusikan muzakarah kali ke-92 itu.

Ia dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti negeri.

No comments

Powered by Blogger.