Wanita maut terjun menara 10 tingkat

Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my


Mangsa dipercayai alami tekanan perasaan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut kerana mengalami kecederaan di kepala dan badan selepas terjatuh dari sebuah menara di tingkat 10 di Jalan Raja Chulan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Kong Poh Lee, 23, ditemui duduk berseorangan di atas bumbung menara terbabit dipercayai mengalami tekanan perasaan, sebelum cuba ditenangkan oleh seorang pengawal keselamatan di sana.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata mangsa sempat meluahkan perasaan sedih kepada pengawal keselamatan berkenaan, tetapi tidak memberitahu punca sebenar masalah yang dihadapinya.

Beliau berkata, pengawal keselamatan kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat berhampiran dan pada masa sama, turut memujuk mangsa, tetapi gagal apabila wanita terbabit secara tiba-tiba terjun dari bangunan itu.

“Polis percaya mangsa mengalami tekanan perasaan sehingga berani mengambil tindakan sedemikian dan sedang menjalankan tindakan lanjut berhubung kejadian itu, selain mengesan lokasinya sebelum berada di atas bumbung,” katanya di sini, semalam.

Zulkarnain berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

No comments

Powered by Blogger.