Gaji Pengurus Besar PKNS Munasabah

Oleh Afix Redzuan

SHAH ALAM, 16 NOVEMBER : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdu Khalid Ibrahim menegaskan gaji dan bonus yang dibayar kepada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS, Othman Omar adalah munasabah dengan tugasan kerja dimana beliau perlu mengurus aset yang berjumlah RM30 bilion.

Katanya, walaupun gaji Pengurus Besar PKNS dilihat besar, apa yang penting adalah integriti bekerja tanpa rasuah perlu diberikan keutamaan memandangkan tugas yang pikul sangat berat untuk menjaga amanah rakyat.

Bagaimanapun, pemberian bonus akan dinilai semula selepas ini bagi mengelakkan warga kerja PKNS mendapat ganjaran di tempat lain secara ‘luar biasa’.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, pendapatan yang diterima oleh Pengurus Besar PKNS akan dinilai berdasarkan prestasi beliau dan PKNS itu sendiri. Sejak 2009 hingga 2011, pencapaian beliau dan PKNS boleh dikategorikan sebagai baik.

“Di bawah kepimpinan semasa, keuntungan operasi ditingkatkan, berbanding dengan penjualan syer dan aset oleh kepimpinan terdahulu. Satu perjanjian kerjasama telah dibuat dengan Transparency International pada tahun lalu yang membolehkan beberapa jawatankuasa berkaitan Peningkatan Urustadbir Korporat dan Ketelusan dibentuk pada tahun ini,” katanya semasa sessi pengulungan perbahasan bajet 2012.

Sebelum ini, pembangkang mempersoalkan gaji Othman yang mencecah RM39,933 sebulan. Mereka mendakwa Othman mendapat gaji dan bonus yang mencecah RM1.4 juta semasa tempoh perkhidmatannya dari Februari 2009 ke 2010.

Jelas Abdul Khalid, semakan gaji yang diterima oleh pengurus tertinggi GLC Kerajaan Persekutuan menunjukkan mereka menerima pendapatan melebihi RM1 juta setahun.

Pada tahun 2009, simpanan yang dicapai PKNS melalui tender terbuka dan pengurusan yang cekap adalah pada kadar RM15.24 juta. Dengan menggunakan Pek Integriti, jumlah ini telah meningkat kepada RM115.15 juta pada tahun 2010.

Dijangkakan jumlah ini akan meningkat kepada RM150 juta pada tahun ini.

No comments

Powered by Blogger.