Panglima Angkatan Tentera Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan

KOTA BAHARU, 12 Nov (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin mendahului senarai 613 penerima darjah kebesaran, bintang, dan pingat sempena Ulang Tahun ke-42 Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Zulkifli menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 24 orang lagi menerima darjah kebesaran Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Bendahari Majlis Orang-orang Besar Di Raja Kelantan, Datuk Dr Abdullah Sepien dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Khalid Abu Bakar yang masing-masing menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili I) (SJMK).

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Sri Mohamed Apandi Ali dan Pengerusi Syarikat Sen Media Sekh Mohd Ruzi @ Adnan Sekh Ahamad pula menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK).

Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd, Jamelah Jamaluddin pula menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi II) (DPMK).

Empat orang lagi menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK) iaitu Timbalan Dekan (Ijazah Tinggi) Sekolah Perniagaan Pascasiswazah Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Kampus Kota Universiti Malaya, Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal; Anggota Majlis Mesyuarat Kelantan Abdul Fattah Mahmood; Peguam Tetuan Azmi & Associate Prof (A) Azmi Mohd Ali dan pesara Nik Mustapha Nik Mahmood.

Datuk Saharudin Samsudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan peguam Sulaiman Abdullah pula menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili II) (DJMK).

Pengarah Infantri/Tentera Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Infantri, Brig Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) (DPKK); manakala Panglima Lapan Briged, Markas Lapan Briged, Kem Pengkalan Chepa, Brig Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (Al-Yahyawi II) (DPKK).

Lapan lagi menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (DPSK) iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Che Mohd Hashim Abdullah; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Makhtar Mustapha; Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nik Rahmat Nik Taib; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa; Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Wan Mustapha Wan Ab. Hamid; dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Jabatan Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Zurkurnai Yusof.

Dua lagi penerima darjah yang membawa gelaran Datuk adalah Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang masing-masing menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II) (DPSK).

Seramai 213 orang menerima darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Sultan di Istana Balai Besar di sini manakala bakinya akan menerimanya pada satu tarikh lain.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.