PRU13: Berubah sempena 1433 Hijrah

Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 27 Nov: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengajak semua rakyat melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang sempena kedatangan tahun baru Hijrah 1433.

Tuan Ibrahim menjelaskan, ini sesuai dengan semangat hijrah itu sendiri iaitu keluar daripada kegelapan yang penuh mungkar menuju sebuah negara berkebajikan dan adil sebagaimana diidam-idamkan oleh seluruh rakyat.

“Marilah kita sama-sama berusaha ke arah melakukan perubahan sehingga terbentuk negara yang di berkati oleh Allah SWT. Gagasan kita negara berkebajikan iaitu kerajaan beramanah, jujur dengan rakyat dan negara serta bertanggungjawab dengan Allah.

“Inilah sebuah negara yang dicita-citakan oleh seluruh rakyat dengan kekayaan dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat, bukannya kekayaan berlegar di kalangan golongan tertentu semata-mata. Supaya di kalangan orang-orang kaya semata-mata.

“Oleh kerana itu kita harapkan satu perubahan dalam pilihan raya umum ke-13 yang tidak lama lagi, supaya marilah bersama-sama seluruh umat Islam dan bukan Islam tanpa mengira bangsa dan warna kulit bergerak secara menyeluruh dalam keadaan negara yang diberkati oleh Allah negara yang beramanah,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dalam perutusan sempena Sambutan Hijratur Rasul 1433.

Tuan Ibrahim menambah, beliau bagi pihak Penerangan PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Pahang mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah, mudah-mudahan semangat yang ditunjukkan dalam Sirah dihayati dan diteladani.

Katanya lagi, hijrah tidak mungkin boleh berlaku tanpa adanya satu pengorbanan dan kegigihan semangat jihad dalam jiwa untuk keluar daripada kemelut yang sedang melanda dalam negara kita sama ada penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

“Maka demi untuk mencapai cita-cita tersebut pejuang-pejuang Islam dan keadilan hendaklah istikamah dalam perjuangan, berkorban dan seterusnya bersabar dalam perjuangan yang panjang ini,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.