Sempitnya Pemikiran Ahmad Maslan

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
KETUA PENERANGAN UMNO BERFIKIRAN SEMPIT

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar kenyataan rasis dan dangkal Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan terhadap Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan Rakyat diberikan kemenangan kerusi yang lebih oleh rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Datuk Ahmad Maslan mengancam orang Melayu dengan mengatakan Parlimen Malaysia akan “tergantung” seperti Parlimen Australia kerana Barisan Nasional tidak dapat melaksanakan polisi negara kerana hanya mendapat majoriti mudah sahaja.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam kenyataan dan sangkaan buruk Datuk Ahmad Maslan terhadap kerjasama yang terjalin utuh oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat dan sokongan bukan Islam kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa cukup kesal kerana UMNO masih berterusan memainkan sentimen agama dan perkauman hanya untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada mereka. Sepatutnya UMNO mengambil kesempatan sempena Perhimpunan Agong UMNO kali ini untuk melakarkan kaedah baru untuk menarik sokongan pengundi Melayu dengan tidak menjaja lagi politik perkauman dan perpecahan.

Sememangnya UMNO kini semakin dihimpit kegelisahan dan kegusaran disebabkan kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap negara dan rakyat sehingga menyebabkan rakyat kini semakin berani untuk bangkit melakukan perubahan. Rakyat semakin muak dan mual dengan agenda politik perkauman dan perpecahan yang didendangkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan orang Melayu tidak perlu gusar terhadap kemampuan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menggantikan UMNO dan Barisan Nasional kerana PAS dan Pakatan Rakyat telah bersetuju sebulat suara untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seadanya. Selain itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempunyai komitmen yang lebih tinggi untuk memperjuangkan agenda rakyat dan memperbaiki kehidupan rakyat berbanding perjuangan UMNO/BN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga pihak Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas kenyataan Datuk Ahmad Maslan di dalam http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/umno-dakwa-melayu-akan-hilang-semua-kuasa-jika-parlimen-gantung/ kerana cukup berbahaya dan boleh menanamkan bibit-bibit kebencian serta prejudis terhadap Pakatan Rakyat serta ketegangan hubungan antara kaum dan agama di dalam negara ini.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
29 November 2011

No comments

Powered by Blogger.