Rakyat Sambut Baik Keputusan Selangor Bubar Dun Selepas Jun 2012
Oleh Afeeqa Afeera
SHAH ALAM 25 NOVEMBER : Keputusan kerajaan negeri untuk menyertai pilihan raya umum ke-13(PRU13) hanya selepas bulan Jun tahun depan disambut baik oleh rakyat Selangor.
Tinjaun wartawan Selangor Kini, mendapati orang ramai bersetuju dengan hujah yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tarikh itu sebagai releven dan sesuai kerana pihaknya dapat melaksanakan belanjawan untuk dinikmati oleh rakyat.
Menurut Khalid, adalah amat berhemah sekiranya belanjawan sebanyak RM 1.6 bilion dapat dinikmati oleh rakyat Selangor supaya keikhlasan kerajaan negeri dapat dinilai oleh rakyat.
Bersetuju dengan Menteri Besar, warga Shah Alam, Mohd Zain Mohd Yusof, 58, menyatakan keputusan kerajaan negeri adalah bernas bahkan membuktikan ketelusan Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam memperkasakan rakyat.
“Kalau itu yang diputuskan oleh Menteri Besar, maka saya sebagai rakyat Selangor menyambut baik untuk mengadakan PRU 13 secara berasingan.
“Ia adalah perkara baik kerana menunjukkan ketelusan Pakatan untuk membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Berkongsi pendapat yang sama ialah Peniaga Fatimah Razif, 35, katanya ia adalah langkah terbaik yang diputuskan Menteri Besar memandangkan Belanjawan 2012 baharu sahaja dibentangkan pertengahan bulan ini.
“Ia amat baik kerana menunjukkan bahawa kerajaan Selangor mengutamakan rakyat terutama dari sudut kebajikan. Ia bersesuaian dengan tema Hasil Negeri Untuk Rakyat yang digunapakai oleh kerajaan Selangor,” jelasnya.
Dalam tinjauan sama, Mohd Sabry Abdul Majid, 39, menegaskan, sebagai rakyat jati Selangor, beliau sentiasa menantikan bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan Selangor menerusi Belanjawan 2012.
Justeru, tindakan Menteri Besar ini disambut baik malah dianggap rasional.
“Saya ikutkan sahaja keputusan kerajaan Selangor. Ini kerana, kalau negeri ini menyertai PRU13 yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja lagi, rakyat tidak dapat merasai manfaat atau faedah yang akan diperuntukkan.
“Oleh itu, ia adalah satu tindakan yang tepat dan akan menguntungkan rakyat Selangor,” katanya.
Turut menyatakan sokongan ialah pekerja swasta, Kasturi Batamallai, 36, katanya ini adalah keputusan tepat kerana ia akan memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati kekayaan dan manfaat di negeri ini.
“Saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk membela dan membangunkan masyarakat di negeri ini tanpa mengenal kaum. Sekiranya PRU diadakan awal tahun hadapan,rakyat tidak akan berpeluang merasai manfaat yang ditawarkan kerajaan Selangor menerusi Belanjawan 2012. Jadi semestinya keputusan yang ditetapkan oleh Menteri Besar itu adalah baik,” katanya.
Berkongsi pendapat yang sama ialah Kelvin Lim, 25, jelasnya, pembangunan negeri tidak dapat dilaksanakan sekiranya PRU 13 berlangsung awal tahun hadapan.
Malah tegasnya, rakyat juga akan mendapat kerugian kerana terlepas untuk menikmati manfaat atau peruntukan yang diberikan kerajaan Selangor.
“Saya sebagai belia beranggapan ia adalah langkah yang baik. Tidak salah untuk mengadakan pilihan raya berasingan seperti yang dilaksanakan di negeri Sarawak. Ia tidak akan menimbulkan masalah, asalkan janji-janji yang dibuat kerajaan dapat ditunaikan,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Monash University cawangan Malaysia, Dr Wong Chin Huat menyokong penuh apa yang diputuskan oleh kerajaan Selangor.
Katanya, dalam perkara ini ia menjadi hak mutlak Menteri Besar untuk memohon kepada DYMM Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor.
“Menteri Besar boleh menunggu sehingga dewan negeri cukup lima tahun untuk mengadakan pilihan raya.Tiada undang-undang yang menyatakan bahawa kerajaan negeri perlu mengikut Kerajaan Persekutuan dalam perkara pilihan raya ini,” katanya.
Tambahnya, jika pilihan raya negeri diadakan berbeza dengan pusat ia lebih baik untuk demokrasi di negara ini.
“Ia bukan soal ketakutan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan Pusat tetapi berlainan tarikh pilihan raya ini akan membentuk iklim politik yang lebih baik untuk rakyat dalam merealisasikan persaingan dua parti dalam politik Malaysia.
“Ini memberi ruang kepada rakyat membuat perbandingan dan pilihan yang tepat siapa yang akan dipilih sebagai kerajaan,” katanya.
Menurut Khalid, semasa pilihan raya umum Mac 2008 lalu semua belanjawan negeri habis dalam masa hanya tiga bulan oleh pentadbiran Barisan Nasional.
No comments
Post a Comment