RUU Himpunan Aman menyalahi Perlembagaan – Surendran
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Himpunan Aman yang dibentangkan kerajaan Barisan Nasional bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Demikian dinyatakan Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dalam reaksi terhadap pembentangan rang undang-undang itu yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz di Parlimen pagi tadi.
“Rang undang-undang ini membuatkan hak rakyat untuk berhimpun tidak bermakna langsung, dan ia secara terang-terangan menyalahi Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan,” kata Surendran.
Bercakap lanjut, Surendran berkata, butiran rang undang-undang itu menjelaskan niat sebenar perdana menteri, Datuk Seri Najib dan kerajaannya untuk menyukarkan rakyat berhimpun.
“(Jika ia diluluskan), kita lebih teruk berbanding peruntukan Akta Polis 1967,” kata Surendran.
Menurutnya lagi, tidak ada sebab kerajaan perlu menghalang perhimpunan aman kerana tugas polis adalah menguruskan lalu lintas dan perkara yang perlu ketika sesuatu perhimpunan diadakan.
“Negara demokratik yang lain seperti UK, US, Australia, Kanada, Finland atau Afrika Selatan tidak mempunyai peruntukan undang-undang sedemikian rupa.
“Ia jelas tidak konsisten dengan norma dan amalan antarabangsa dan juga UDHR,” kata Surendran.
Beliau dalam pada itu turut membidas syarat notis 30 hari yang perlu diberi kepada polis sebelum himpunan jalanan boleh diadakan.
Menurutnya, syarat itu tidak logik kerana jika sesuatu isu itu bersifat semasa dan menuntut perhatian segera, jangka masa 30 hari adalah terlalu lama untuk rakyat memberi maklum balas dan bertindak.
Beliau turut membidas Seksyen 8 rang undang-undang itu yang membolehkan Ketua Polis Negara “mengambil langkah-langkah yang diperlukan” sebagai membuka ruang kepada salah guna kuasa.
Denda RM20 ribu ke atas mereka yang mengambil bahagian juga dilihat sebagai tidak perlu dan keterlaluan, kata Surendran.
Beliau seterusnya mencadangkan agar Akta Polis dipinda untuk memansuhkan keperluan permit dan menggantikannya dengan makluman ringkas, seperti dipraktikkan di negara-negara lain.
No comments
Post a Comment