Dewan Pemuda PAS Kelantan Membantah Sekeras-kerasnya Penganjuran Seksualiti Merdeka 2011

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) membantah sekeras-kerasnya penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang dirancang oleh beberapa pertubuhan NGO dan individu bermula 1 – 13 November 2011. DPPNK berpandangan bahawa penganjuran program seperti ini hanya akan membawa kepada kemusnahan moral dan menggalakkan hubungan sejenis yang ditentang bukan sahaja oleh Islam bahkan oleh semua agama di dunia.

2. Jika merujuk kepada laman web rasmi penganjuran program berkenaan iaitu http://www.seksualitimerdeka.org/ jelas sekali matlamat golongan berkenaan ialah untuk mengiktiraf golongan gay, lesbian, bisexual, intersex, transgender untuk mengamalkan gaya hidup masing-masing dengan bebas dalam masyarakat. DPPNK berpandangan bahawa ini merupakan satu langkah permulaan terhadap pemusnahan besar-besaran moral dan akhlak rakyat di atas nama kebebasan hak asasi.

3. DPPNK menjunjung tinggi hak asasai manusia selagi mana ia tidak merosakkan suasana dan nilai-nilai murni masyarakat secara keseluruhannya serta tidak bertentangan dengan syariat Islam. Dalam hal ini, DPPNK berpandangan kerajaan sewajarnya bertindak tegas menghalang perhimpunan dan gerakan seperti ini. DPPNK percaya sebagaimana kerajaan menghalang perhimpunan BERSIH 2.0 pada bulan Julai yang lalu dan membuat penangkapan besar-besaran sebelum perhimpunan tersebut berlangsung, tidak syak lagi kerajaan juga boleh dan mampu bertindak sedemikian rupa terhadap penganjur Seksualiti Merdeka ini.

4. Bagi pihak DPPNK, kegagalan kerajaan untuk bertindak tegas terhadap penganjur program ini akan membuktikan bahawa ia mendapat lampu hijau sepenuhnya dari kerajaan Malaysia sekalipun disensasikan dengan hebat oleh media massa.
Sekian, wassalam.

Yang menjalankan tugas,

Mohd Nuri Mat Yaakub,

Setiausaha,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 2 November 2011

No comments

Powered by Blogger.