Angkat Kain Biar Sampai Telanjang

Penganugerahan kontrak NFC tidak telus, menyeleweng- Saifuddin

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 30 Nov: Proses penganugerahan kontrak Pusat Fidlot Kebangsaan yang dikendalikan syarikat keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, tidak dibuat dengan telus dan berlaku penyelewengan, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.

Menurut Saifuddin, idea asal untuk menguruskan industri daging dan penternakan komersil itu dimulakan sejak 2003 oleh sebuah syarikat bumiputera yang menghabiskan kira-kira RM300,000 sebagai persediaan.
Bagaimanapun, penganugerahan projek itu tidak mengikut prosedur yang betul apabila usahawan tersebut tidak dipanggil semasa proses bidaan.

“Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender,”

“Oleh sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa proses anugerah projek ini kepada NFC milik keluarga Datuk’ Seri Shahrizat Jalil adalah tidak telus dan menyeleweng,”

“Ini kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta,” kata Ahli Parlimen Machang itu.

Malah katanya, cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI dan Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan.

Kata Saifuddin, syarikat terbabit hanya memohon persetujuan Kerajaan Negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas, selain mendapatkan khidmat nasihat dari pakar teknologi penternakan di Washington State University.

Cadangan itu juga katanya telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Sembilan.

“Ini telah menjadi penyakit di dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat,” kata beliau.

Sehubungan itu, KEADILAN katanya mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatan Kuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan muda.

No comments

Powered by Blogger.