Siap Sedia 150 Ribu Peluru Berpandu - Iran Serang Israel.


TEHRAN 29 Nov. - Israel akan diserang dengan 150,000 peluru berpandu jika ia melancarkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran, kata Menteri Pertahanannya, Jeneral Ahmad Vahidi.

Menteri berkenaan memberitahu bahawa sukarelawan tentera Israel perlu dihukum terhadap apa yang mereka lakukan kepada penduduk Islam di Palestin, lapor Iran Independent News Service semalam. Bercakap kepada 50,000 sukarelawan tentera di Bushehr, menteri terbabit berkata bahawa Iran bukanlah Iraq ataupun Afghanistan.

“Jika Amerika Syarikat melancarkan serangan dan menyerang Iran, kita akan tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk berlawan, sambil menambah Israel perlu dihukum terhadap apa yang dilakukan kepada penduduk Palestin dan Lubnan,” katanya.

Vahidi tidak menyatakan secara spesifik sama ada peluru berpandu itu akan dilancarkan dari Iran atau lokasi lain.

Sebelum ini seorang komander kanan Pengawal Revolusi Iran berkata bahawa negara itu akan mensasarkan perisai pertahanan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Turki jika Amerika atau Israel menyerang Republik Islam berkenaan.

Jeneral Amir Ali Hajizadeh, ketua bahagian aeroangkasa pasukan pertahanan Iran dipetik agensi berita separa rasmi Mehr memberi amaran bahawa persiapan yang dilakukan oleh Tehran adalah sebahagian strategi untuk menghadapi ancaman Amerika dan Israel.
Menteri Pertahanan Iran berkenaan juga memberi amaran mengenai serangan balas oleh Amerika tetapi tindakan itu perlu melepasi pertahanan ampuh Iran.

“Amerika dan sekutunya perlu tahu bahawa Iran terlalu kuat dan berusaha akan mengajar Amerika bagaimana untuk berperang dan apa maknanya untuk berperang dan menjadi wira,” kata Vahidi kepada sekumpulan sukarelawan itu di Bushehr, sebuah bandaraya menempatkan loji kuasa nuklearnya.

Iran bertegas bahawa program nuklear negara itu adalah untuk tujuan keamanan tetapi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula menyatakan bahawa Tehran berterusan membangunkan teknologi senjata nuklear.

Sejak laporan Agensi disiarkan, negara Barat mendesak masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap rejim Tehran untuk menangguhkan program nuklear terbabit.

Amerika, Britain dan Kanada mengenakan sekatan terhadap sektor kewangan dan tenaga Iran, memaksa Tehran mengusir duta Britain. Perancis dan Belanda juga menggesa tindakan sama terhadap republik Islam itu.

No comments

Powered by Blogger.