Langkah bawa Felda ke Bursa mirip ‘gali kubur’ peneroka, kata bekas pegawai Felcra

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 13 Nov ― Bekas naib presiden kanan Felcra Datuk Ramleli Buyong menyifatkan penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd di Bursa Malaysia sebagai “projek gali kubur peneroka.”

Ini kerana menurut Ramleli, pasaran saham tidak menentu dan keadaan akan berubah sekiranya harga jatuh.

Bercakap pada sidang meja bulat anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Ramleli berkata perkara sama berlaku ke atas Felcra selepas ia disenaraikan.

“Saya teringat gerakan dalam Felcra ketika itu Datuk Hamzah Zainuddin (pengerusi Felcra), saya dan kumpulan saya menentang keras cadangan itu.

“Penyenaraian adalah jahat, ada motif yang jahat... menggali kubur peneroka.Ia ada tujuan tertentu, dalam penyenaraian biasanya orang kata untuk cari modal tapi sebenarnya nak tampung biawak hidup yang ada. Sama macam semasa Felcra hendak disenaraikan, ini projek gali kubur peneroka,” katanya.

Sementara itu dua panel sidang meja bulat iaitu bekas pegawai Bank Negara Dr Rosli Yaakob dan bekas penolong kanan pengarah Kastam Malaysia Razman Ramli menyifatkan penyenaraian itu boleh menyebabkan warga peneroka kehilangan aset dan insentif yang dimiliki selama ini.

Selain itu Rosli berkata, penyenaraian Felda Global Ventures Holding dilihat “menyegarkan semula” idea membawa Felda Holdings Berhad ke Bursa Malaysia oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lapan tahun lalu, namun gagal kerana ditentang warga Felda.

“Nampaknya cadangan ini menggantikan cadangan Tun Mahathir untuk menyenaraikan Felda Holdings Berhad pada 2004, namun dibantah peneroka Felda. Kalau dulu Felda Holdings Berhad dicadangkan tapi kali ini syarikat yang memiliki 49 peratus saham dalam Felda Holdings Berhad pula dicadangkan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.