Politik UMNO membawa padah – Oleh T.K. Tan


Setelah lebih 50 tahun memerintah Malaysia, kesan dan hasil pemerintahan UMNO-BN sudah nyata kelihatan. Kesan yang mendalam dirasakan dalam bidang ekonomi dan pendidikan akibat campur tangan politik yang berleluasa dan untuk sesetengah pihak, berlebihan. Bagaimana pencapaian UMNO-BN?

Persaingan perniagaan terpilih

Antara campur tangan politik yang dapat dilihat ialah sektor ekonomi. Untuk menggalakkan dan membantu penyertaan kaum Melayu dalam kebanyakan sektor ekonomi yang penting, badan-badan dan syarikat milikan kerajaan (GLC) ditubuhkan dan seringkali diberikan insentif cukai atau bantuan kewangan yang mudah.

Maka GLC tersebut pun mengembang pengaruhnya sehingga kini merangkumi lebih daripada 37 peratus daripada nilai saham syarikat tersenarai Malaysia.1 Dalam tahun 2001, kerajaan melaporkan yang syarikat persendirian Bumiputera dalam Bursa Malaysia hanya membentuk 3.7 peratus daripada jumlah nilai saham syarikat yang tersenarai.2

Setelah lebih daripada 30 tahun perancangan dan penstrukturan ekonomi dibawah naungan Dasar Ekonomi Baru, penyertaan usahawan Melayu masih belum menonjol. Adakah GLC tersebut telah menghasilkan kesan “crowd-out” untuk keusahawanan Melayu? Maknanya, adakah usahawan Melayu telah dinafikan peluang mereka untuk berkembang ?

Dalam satu laporan WikiLeaks terbitan laman portal Malaysia Today, dinyatakan kerajaan telah membuat satu kajian yang bertajuk “Study on Bumiputera Leakage” yang tidak diterbit untuk tatapan umum.

Laporan tersebut menyatakan yang ramai kontraktor Bumiputera menjual tender mereka untuk untung cepat dan menggunakan wang tersebut untuk membeli kereta dan rumah mewah. Laporan tersebut juga menyebut yang kontraktor Bumiputera menyalahguna bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk membayar pemiutang dan kerap kali mereka melobi untuk mendapat kontrak kerajaan yang baru sebelum menyiapkan kontrak yang diberi kepada mereka.3

Apakah dalam keghairahan campur tangan kerajaan untuk meningkatkan pemilikan Melayu, usahawan Melayu yang mampu bersaing telah diabaikan? Budaya perniagaan Ali Baba mula terbentuk akibat daripada hasil rancangan “durian runtuh” untuk mereka yang ada kaitan dengan pemerintah. Akhirnya yang mendapat nama busuk peniaga Melayu, walau masalah itu dicipta oleh pimpinan UMNO-BN.

Matlamat DEB murni, namun pelaksanaan sudah jauh tersimpang dari tujuan asal pengasasnya Tun Razak. Di bawah naungan perisai sakti DEB ini, ramai pengampu dan kroni kerabat UMNO-BN mendapat untung atas angin dan menjadi jutawan serta-merta.

Kerap kali saham syarikat yang baru disenaraikan yang diperuntukkan di bawah program DEB dijual sejurus disenaraikan oleh pemilik Melayu untuk keuntungan cepat. Tahun lepas kerajaan mengakui yang sebanyak RM52 bilion daripada RM54 bilion saham syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia untuk pemilikan Bumiputera tidak dimiliki kaum Bumiputera lagi.4

PPSMI

Pengolakan politik dalaman UMNO juga telah merebak kepada dan menjejaskan pendidikan anak. Bulan lepas isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibangkit semula dalam debat umum. Penulis tidak berharap mengambil pihak dalam debat ini, cuma yang hendak dinyatakan ialah tentang perlaksanaannya.

Program PPSMI ini mula dibentang dan diiktiraf sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia dilaksanakan dalam tahun 2003 bermula dengan semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.5

Kesan daripada keputusan gopoh ini ramai pelajar luar bandar, khasnya Melayu, mulai kehilangan minat dalam pelajaran Sains dan Matematik. Sementara pelajar bandar pula semakin selesa dengan PPSMI. Jurang antara taraf pencapaian penduduk luar bandar dan bandar bertambah besar lagi.

Akibat daripada bantahan banyak pihak kepada dasar PPSMI, oportunis dalam UMNO mula mengambil kesempatan untuk menukarkan dasar ini. Pada 4 November, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan PPSMI adalah “kekal” dan akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2021.

Persoalannya, sejak awalnya mengapa dasar ini tidak dibentang, dibahas dan diambil persetujuan sepenuhnya oleh semua pihak sebelum perlaksanaannya? Sebenarnya semenjak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir kebanyakan dasar dilaksanakan tanpa usul periksa dan perbahasan yang sewajibnya. Masa depan anak kita dipertaruhkan hanya kerana hendak memenuhi kegilaan kuasa seseorang pemimpin.

Mahasiswa didungukan

Campur tangan dan cengkaman politik UMNO juga meruap ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digunakan untuk mengekang suara kritikan dan perlibatan para mahasiswa dalam politik. Mahasiswa kerap kali diugut digantung pelajaran mereka jika berani terlibat dengan kempen pilihan raya parti pembangkang.

Sementara surat ikrar Akujanji yang jelas menghadkan kebebasan bersuara dipaksakan ke atas semua pensyarah. Ramai pensyarah tidak berani bersuara kerana bimbang hilang periuk nasi mereka. Idealisme dan budaya mengkritik dan membalas pendapat semakin hilang dari IPTA negara. Apakah kita perlu merasa hairan wujudnya profesor-profesor universiti yang jenis pak turut sehingga boleh mengeluarkan kenyataan lucu seperti “Malaysia tidak pernah dijajah British” (Malaysiakini, 9 September)?

Seperkara yang perlu disentuh ialah tentang dasar kuota pengambilan pelajar ke IPTA. Ramai dari masyarakat Melayu amat risau dan bimbang dengan tuntutan kaum bukan Melayu supaya tempat IPTA dibuka untuk semua pelajar yang layak tanpa mengira latar belakang kaum. Kebimbangan ini berpunca daripada hasil propaganda UMNO selama ini bahawa anak-anak Melayu tidak akan mampu bersaing dengan pelajar bukan Melayu.

Akibat dari kebimbangan ini, UMNO dan penjawat awamnya telah mengambil kesempatan untuk bermain dengan sentimen politik orang Melayu. Pengambilan pelajar bukan Melayu ke fakulti-fakulti dan IPTA tertentu dihadkan demi “menglindungi” hak istimewa Melayu. Yang terkorban ialah iklim persaingan yang sihat. Yang rugi dalam jangka panjang ialah anak-anak Melayu.

Ekoran dari cengkaman politik dan dasar yang disebut diatas, kualiti dan jenama IPTA Malaysia mulai merosot. Di dalam senarai QS 200 World University Ranking untuk tahun 2011/2012, hanya Universiti Malaya saja yang berjaya masuk ke senarai 200 ke depan dengan menduduki tangga ke 167 sementara empat universiti tempatan yang lain terus menurun kedudukan mereka. (The Malaysian Insider, 23 Mei 2011).

Di dalam senarai Times Higher Education (THE) 400 Top World University Ranking 2011/12 pula, tiada satu pun IPTA Malaysia berjaya disenaraikan. Hakikatnya IPTA Malaysia di belakang tahun ini sudah mulai menurun prestasi mereka berbanding dengan IPTA negara jiran serantau.

Kualiti graduan lepasan IPTA dilihat sebagai rendah berbanding dengan graduan lepasan luar negeri. Peluang pekerjaan mereka juga terjejas. Dalam satu jawapan Kementerian Sumber Manusia kepada soalan dari Ahli Parlimen Selayang William Leong, lebih daripada 40,000 graduan IPTA kalangan Melayu masih menganggur berbanding dengan 1,403 graduan kaum Cina dan 4,694 graduan kaum Indian setakat Jun 2008.6

Kadar graduan dari IPTA Malaysia yang mendapat kerja adalah lebih rendah berbanding negara jiran. Di Singapura, kadar graduan lepasan IPTAnya yang mendapat kerja dalam tempoh enam bulan ialah 82 peratus, manakala di Malaysia pula, untuk tahun 2006 hingga 2009 kadarnya antara 42. 2 hingga 50.5 peratus.7

Kemerosotan taraf dan kualiti IPTA dan siswazah Malaysia memantulkan kepincangan pentadbiran UMNO yang terumbang-ambing ini. Apakah kita rela anak-anak graduan kita ditohmah dengan ejekan lulusan universiti “kangkung” dan membiarkan mereka terus lemah daya saing mereka?

Prestasi Pakatan Rakyat

Soalan pokoknya, kebanyakan pengundi Melayu tidak merasa mereka ada pilihan lain selain UMNO untuk membela nasib mereka. Mereka ragu dan takut pertukaran kerajaan akan menyebabkan perubahan mendadak dan mereka akan dipinggirkan. Semua ini hasil pemikiran yang dibentuk oleh pimpinan UMNO melalui media massa kawalan pusat termasuk lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia. Apakah pandangan tesebut berasas di zaman ini?

Pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di negeri Pulau Pinang dan Selangor telah membawa banyak perubahan positif yang tidak pernah berlaku. Bermula dengan Pulau Pinang, kadar kemiskinan tegar negeri tersebut telah diturunkan sejak 2008.

Pada tahun 2008, terdapat 7,462 penerima bantuan kebajikan yang menerima bantuan kebajikan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat; pada Julai 2011 sahaja, 24,529 orang telah didaftar sebagai penerima bantuan kebajikan. Kebanyakan daripada mereka menetap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO dan dikesan dan didaftar oleh para penolong PR.

Program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) telah dimulakan pada 2008 untuk membantu mereka yang miskin tegar supaya hidup sihat dan kembali produktif. Bantuan sebanyak RM188,000 sebulan dihulurkan kepada mereka yang miskin tegar. Daripada 741 orang penerima bantuan (setakat Julai 2011), 87 peratus daripada mereka adalah kaum Melayu.8

Pelaksanaan sistem tender terbuka untuk kontrak kerajaan negeri telah menyaksikan kontraktor-kontraktor Melayu berjaya dalam meraih bilangan dan jumlah nilai projek terbanyak antara syarikat yang bersaing.

Di Selangor pula, pelbagai program kebajikan yang menguntung rakyat dilaksanakan. Air 20 meter padu pertama dibekalkan percuma untuk semua penghuni di Selangor. Untuk waris penduduk Selangor pula, mereka boleh mendapat wang khairat sebanyak RM2,500 setelah mereka meninggal dunia. Skim mikrokredit Selangor diperkenalkan untuk membantu mereka yang miskin dan duduk di luar bandar.9

Dengan program-program mesra rakyat diatas, tidak pula negeri-negeri PR ini jatuh muflis. Kerajaan PR Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International dalam 2009 sebagai negeri di Malaysia yang pertama mengamalkan sistem tender terbuka dan pentadbiran cekap, akauntabel dan telus (CAT). Ia juga telah mencatatkan lebihan belanjawan tiga tahun berturut-turut. Sementara Selangor telah berjaya menambah simpanan tunai kepada RM 1.1 billion setakat Jun 2011, jumlah paling tinggi dalam 28 tahun.10

Kedah juga mencatat peningkatan hasil 205 peratus pada tahun 2010 dari royalti kayu balaknya melalui tender terbuka. Ia juga telah mencatat lebihan belanjawan sebanyak RM 22.5 juta, prestasi terbaik negeri tersebut sejak 2001.11

Pendek kata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR telah menunjukkan sikap berhemat dalam menguruskan perbelanjaan negeri dan mengamalkan pentadbiran yang lebih telus dan bertanggungjawab serta mengamalkan dasr yang menguntungkan rakyat.

Pilihan di tangan kita

Malaysia kini di persimpangan jalan. Masyarakat Melayu, sebagai majoriti penduduk dan penentu hala politik Malaysia, perlu menilai pilihan yang ada.

Di depan kita sekarang ialah sebuah kerajaan di mana pemimpinnya hanya mementingkan diri sendiri dan asyik berpolitik untuk kepastian hayat pemerintahannya. Segala apa yang tecapai digunakan tanpa segan silu untuk memburukkan dan mengaibkan Pakatan Rakyat. Tidak cukup dengan tuduhan seks yang berlebihan dan tidak lojik kepada pemimpin PR, pelajar sekolah juga tidak terlepas daripada fitnah mereka. Mereka yang gila kuasa ini telah kehilangan kedudukan moral.

Apakah naluri masyarakat Melayu sanggup menerima kerosakan moral yang kian hari melanda kancah politik Malaysia di bawah pemerintahan UMNO-BN ini? Sanggupkah masyarakat Melayu terus dihina intelek dan hati nurani mereka demi memelihara mitos “hanya UMNO penaung Melayu”? – Roketkini.com

Sumber

1. Re-Engineering The Government’s Role In Business, National Economic Advisory Council.

2. Third Outline Perspective Plan, 2001-2010, Kerajaan Malaysia.

3. Rampant Ali Baba Abuses in GOM Affirmative Action Program Draws PM Ire, 20 September 201, Malaysia

Today

4. Where are RM52 billion Bumi shares, asks Guan Eng, 29 March 2010 The Malaysian Insider

5. PPSMI, Wikipedia versi Bahasa Malaysia

6. williamleongjeekeen.blogspot.com, The Malaysian Resource Curse 7 Oktober 2009

7. Jawapan soalan parlimen dari kementerian sumber manusia, 16 Mac 2010.

8. Pejabat Exco Kebajikan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang

9. Pencapaian Dua Tahun Selangor 2008-2010
10. Simpanan Tunai Selangor RM1.1 Bilion Terbaik Dalam Tempoh 28 Tahun, 23 September 2011 Selangorkini,

11. Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Jabatan/Agensi Negeri

Kedah 2010

No comments

Powered by Blogger.