Khalid: Program pengukuhan demokrasi tingkat kesedaran rakyat

SHAH ALAM 9 Nov: Program Pengukuhan Demokrasi yang pertama kali diperkenalkan di Selangor bukan dana publisiti bagi mana-mana parti politik, tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, program tersebut termasuk dalam Belanjawan Selangor 2012 yang memperuntukkan RM5 juta bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang hak demokrasi mereka.

Tambah beliau, program seumpama itu turut dijalankan di negeri-negeri lain termasuk yang dikuasai Umno-Barisan Nasional bagi memberi latihan dan pendidikan mengenai pilihan raya.

“Program itu akan dilaksanakan secara profesional dan bukannya duit peruntukan untuk kempen KEADILAN, Pas atau Dap. Kita juga boleh guna duit (itu) untuk membuat bantahan kepada SPR,” kata Khalid ketika sidang media di Bangunan Kerajaan Selangor (SUK) di sini hari ini.

Tegasnya, peruntukan itu merupakan wang rakyat khasnya pengundi Selangor tanpa mengira fahaman politik.

Program Pengukuhan Demokrasi adalah sebahagian daripada 17 program dalam Geran Selangorku yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2012 bertemakan ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’.

Geran itu berasaskan dana sumbangan dividen daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri serta keuntungan daripada operasi Menteri besar Diperbadankan (MBI) yang memperoleh hutang lapuk dari syarikat seperti Talam Corporation.

Ia termasuk penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberimilikan tanah mengikut harga pasaran.

Sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, keuntungan syarikat milik negeri ini jatuh ke poket rakan kongsi perniagaan serta kroni mereka yang berkuasa dan bukannya rakyat Selangor.

No comments

Powered by Blogger.