Polis arah penganjur batal Seksualiti Merdeka serta-merta

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengarahkan program Seksualiti Merdeka dihentikan serta-merta sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap penganjur dan peserta yang terlibat.

Katanya, program tersebut jelas melanggar undang-undang negara dan bertentangan dengan ajaran pelbagai agama di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pangkalan udara PDRM di sini hari ini.

Polis telah mengenal pasti dan akan memanggil kesemua mereka yang terlibat dalam penganjuran program itu termasuk Datuk S. Ambiga untuk dirakam keterangan mereka.

“Polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 27 A (1) (C) dan juga 298 A Kanun Keseksaan untuk menghalang sebarang penganjuran majlis itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata undang-undang di negara ini tidak mengiktiraf kegiatan songsang yang boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.

“Polis menerima banyak bantahan dari pihak badan bukan kerajaan termasuk badan Agama Islam dan bukan Islam yang bimbang majlis ini akan menimbulkan suasana tidak harmoni, perasaan permusuhan serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyertai rakan-rakan NGO Islam lain membantah dan mengutuk dengan sekeras-kerasnya festival Seksualiti Merdeka.

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan, penganjuran aktiviti sebegini dengan sengaja mengundang usaha untuk terus-menerus menongkah norma serta realiti kehidupan beragama dan berlandaskan susila ketimuran di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.

“Selari dengan prinsip pertama Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukunegara, sudah tentu kedegilan penganjur serta penyokong aktiviti ini merupakan penghinaan terhadap kepercayaan serta amalan beragama masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang semuanya dengan jelas menolak amalan songsang fitrah yang menjadi kepercayaan serta landas perjuangan kaum lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Keterlibatan Majlis Peguam Malaysia khususnya memberikan kesan kerana membantu serta menggalakkan kemungkinan untuk perlakuan jenayah yang jelas dinyatakan di dalam Kanun Keseksaan dan kesalahan-kesalahan jenayah syariah di bawah enakmen-enakmen negeri di Malaysia.

“Justeru, penglibatan Majlis Peguam dalam penganjuran dan sokongan Seksualiti Merdeka sangat dikesalkan,” katanya.

Justeru kata beliau, PPMM menggesa Majlis Peguam memohon maaf serta menarik balik penglibatan dan sokongannya terhadap aktiviti ini dengaan serta-merta.

“PPMM juga menerima banyak aduan dan pertanyaan dari kalangan peguam-peguam beragama Islam yang tidak bersetuju dengan tindakan Majlis Peguam tersebut.

“Justeru, PPMM juga menggesa kepimpinan Majlis Peguam untuk meletak jawatan kerana gagal mendaulatkan undang-undang dan sebaliknya mempromosi gaya hidup tidak bermoral dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau sambil menambah, Majlis Peguam dilihat sebagai memberi tiket percuma kepada seseorang melakukan perlakuan jenayah.

No comments

Powered by Blogger.