Debat Belanjawan: Hanya respon Anwar, tiada maklum balas Najib

(Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR 2 Nov : Penganjur Debat Belanjawan 2012, Akademi Pak Sako kesal dengan Datuk Seri Najib Razak yang masih membisu berhubung jemputan debat berkenaan, meskipun surat jemputan telah dihantar.

Dalam satu kenyataanya hari ini, Akademi itu difahamkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilapor ke Mekah Isnin lalu bagi menunaikan ibadah haji.

“Pihak kami hanya mendapat tahu pemergian Perdana Menteri ke Mekah dari laporan media dan tiada sebarang makluman rasmi daripada pihak Pejabat Perdana Menteri tentang perkara ini, walhal surat jemputan debat telah dikemukakan dua minggu lebih awal,”

“Sehingga kini iaitu sejak surat jemputan debat diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Pembangkang, kami hanya menerima maklumbalas dari pihak Ketua Pembangkang iaitu Ketua staf Ibrahim Yaacob.

“Ketua Pembangkang telah menyatakan kesudian untuk menyertai debat tersebut. Namun demikian, tiada sebarang maklumbalas dari pihak Pejabat Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.

Surat pelawaan dihantar kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, selain turut diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat KEADILAN, 21 Oktober lalu.

“Justeru, pihak kami kesal kerana sehingga hari ini pihak Pejabat Perdana Menteri masih mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang jawapan rasmi.”

“Namun Akademi Pak Sako menghargai keterbukaan Anwar Ibrahim yang telah menerima jemputan debat dan tawaran anjuran debat tersebut,” Katanya lagi.

Akademi Pak Sako sebelum ini menawarkan menjadi penganjur bagi debat Belanjawan Negara 2012 antara Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri 19 Oktober lalu.

Debat itu sepatutnya berlangsung pada esok Khamis, 3 November pada jam 9 malam dan bertempat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya namun ia terpaksa dibatalkan memandangkan ketiadaan Najib di Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.