Asal Bukan Umno Laknat

NGO, parti politik lancar ABU tingkat gerakan anti-Umno

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 9 Dis ― Parti-parti politik dan organisasi bukan kerajaan berganding membentuk satu gerakan anti-Umno, yang dikenali sebagai Asalkan Bukan Umno (ABU) bagi membantu menyedarkan pengundi berkenaan ‘kejahatan Umno’ menjelang pilihan raya umum ke-13.

Gerakan itu dianggotai Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SAMM) serta parti-parti politik seperti PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Badrul Hisham Shaharin dari PKR dan SAMM berkata, sudah tiba masanya orang perseorangan dan pertubuhan-pertubuhan sivil meletakkan titik akhir ke atas penguasaan Umno atas alasan parti itu secara berterusan menggunakan politik perkauman untuk menakut-nakutkan dan menindas rakyat.

Kata beliau, ABU akan melancarkan kempen peringkat kebangsaan bagi menyeru orang ramai menghimpunkan suara mereka menolak amalan-amalan salah guna dan rasuah pihak Umno selama ini.
“Dan, dengan itu tanpa ragu-ragu menolak Umno-BN,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Chegubard.

Katanya, amalan rasuah yang teruk di pihak Umno telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan seharian.
Katanya, sidang media serentak juga diadakan di negeri-negeri lain termasuk di Pulau Pinang dan Terengganu.

Presiden MCLM Haris Ibrahim yang turut hadir berkata, beliau telah dihalang daripada memasuki Sabah baru-baru ini untuk membentuk gerakan ABU di negeri itu.
“Kami dihalau keluar tanpa sebarang alasan,” kata Haris.

“Musa Aman berkata Haris tidak dibenarkan di Sabah sebab alasan keselamatan? Adakah beliau kelihatan seolah-olah satu ancaman kepada keselamatan?” kata Badrul.

Badrul juga berkata ABU akan mengadakan forum khas di Markas Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, Gombak pada 15 Disember ini.

Katanya, satu pengumuman besar akan dibuat berkenaan perancangan mengadakan kempen “Umno-less Malaysia”.

Bagaimanapun beliau enggan memberi maklumat lanjut.

Ketika ditanya sehingga bila gerakan ABU akan diadakan, Badrul berkata: “Asalkan Umno masih ada.”

No comments

Powered by Blogger.