Exco Pulau Pinang Isytihar Harta

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengisytiharkan harta milik masing-masing dalam tempoh sebulan ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini.
Ia akan dipaparkan kepada umum menerusi Internet.

Lim berkata, langkah itu diambil sejajar dengan janji dibuat sebelum mereka mengangkat sumpah pada 8 Mac 2008 dan ia juga sebahagian daripada usaha Pulau Pinang memimpin dengan mengamalkan enam langkah integriti.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah pun bersetuju untuk membuat deklarasi aset kepada umum sebelum mengangkat sumpah pada 8 Mac 2008 dan sekarang kita akan memaparkan maklumat ini dalam Internet dalam jangka masa kurang daripada sebulan,” kata beliau.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP mengatakan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Prai pagi ini.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.

Lim berkata melalui pentadbiran yang bersih, kerajaan negeri telah membawa semangat keyakinan dan optimis yang baru bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga di kalangan para pelabur.

Ekoran usaha-usaha itu tambah beliau, Pulau Pinang telah berjaya meraih pelaburan yang tertinggi di Malaysia untuk kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 dengan jumlah pelaburan RM12.24 bilion.
“Pada tahun ini, kita hampir mencapai sasaran RM6.1 bilion dengan mencatat RM5.7 bilion setakat akhir bulan Oktober 2011,” katanya lagi.

Lim berkata perubahan-perubahan yang dapat “dilihat, dirasa dan disentuh” sekarang adalah hasil pengamalan enam langkah integriti, antara lain parti-parti politik diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni dan hak untuk maklumat tidak sulit dilindungi di bawah Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan.

Lain-lain ialah kesemua penjawat awam yang memegang amanah awam membuat pengisytiharan aset mereka.

Malah kata beliau, langkah-langkah itu juga boleh memulakan proses pembersihan Malaysia daripada rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa.

“Langkah-langkah asas seperti menghukum mereka yang mengamalkan rasuah, mengurangkan peluang rasuah, melaksanakan sistem integriti kebangsaan melalui undang-undang dan institusi-institusi yang sesuai adalah antara langkah-langkah yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya lagi.

No comments

Powered by Blogger.