Pakatan Rakyat Selangor Harus Menambah Kerusi Dalam Pilihanraya ke-13
Oleh Afix Redzuan
SHAH ALAM, 6 DISEMBER : Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Pakatan Rakyat Selangor (Pakatan) supaya menambah kerusi Dun dan Parlimen selain mengukuhkan kedudukan di Selangor.
Laungan ini dilontarkan di hadapan hampir 5,000 hadirin dalam Majlis Rapat Rakyat semalam sebagai isyarat jelas bahawa Pakatan mahu terus membawa perubahan dan kesejahteraan untuk rakyat Selangor selain menawan Putrajaya.
Katanya, Pakatan mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa negara ke arah yang lebih mantap bersandarkan kepada Buku Jingga yang sudah terbukti keberkesanannya sejak dilancarkan.
“Sekarang tanggungjawab di Selangor bukan setakat mempertahankan, Selangor bertanggungjawab menambah kerusi negeri dan Parlimen,” katanya.
Jelas beliau, perjuangan Pakatan bukan hanya bersandarkan kepada slogan tetapi memperjelaskan kepada rakyat apa program yang ingin dilakukan apabila ke Putrajaya.
Pakatan turut komited untuk mengangkat semula martabat Bahasa Malaysia yang penguasaannya dilihat semakin hambar. Beliau mahu jadikan Bahasa Malaysia bahasa yang bukan untuk orang Melayu sahaja bahkan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Saya nak ulang dihadapan pemimpin Pas, PKR dan DAP kita ambil alih Putrajaya, kedudukan Bahasa Melayu akan diangkat dan dimartabatkan yang tidak pernah kita saksikan sejak kita Merdeka,” laung Anwar.
Selain itu katanya, tatakelola yang baik oleh pimpinan negeri dan gerak kerja tersusun tanpa korupsi adalah kunci kejayaan pentadbiran Selangor.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar bekerja keras sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan pada Pilihanraya akan datang.
“(Perdana Menteri) Datuk Najib (Razak) kata kita akan rampas Selangor, (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata kita akan tawan Selangor. Saya nak jawab kamu (Umno) boleh impikan untuk menawan Selangor, kami Insya-Allah akan sampai ke Putrajaya,” katanya.
No comments
Post a Comment