Transformasi Juara Rasuah Umno-BN
Oleh Mohd Rashidi Hassan
Umno-Barisan Nasional boleh cuba membohongi rakyat, kononnya meraka adalah juara transformasi yang mampu menjulang negara ke suatu tahap untuk dibanggakan.
Laungan transformasi bergema sejak Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri, menggantikan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dipaksa berundur oleh Umno.
Transformasi bermakna anjakan perubahan. Sudah tentunya ia merupakan suatu gagasan untuk perubahan kepada keadaan yang kurang baik, kepada situasi yang lebih baik.
Lalu slogan transformasi dilaung, diulang dan diuar-uarkan media pro Umno-BN setiap hari. Malah dalam Perhimpunan Agung Umno 2011, kalimah transformasi menjadi zikir setiap perwakilan mereka.
Malangnya daripada Presiden Umno, Pengerusi Tetap, perwakilan sehinggalah kepada juak-juak bawahan, mereka mengulang sebut kalimat transformasi seumpama buruk kakak tua yang ditambat oleh tuannya.
Di PWTC berdegar-degar kononnya Umno-BN sudah berjaya transform. Sebaliknya dikeluarkan dari fakta sahih oleh Transparency International (TI) bahawa di bawah pentadbiran Najib, indeks rasuah negara, terjerumus ke tahap yang paling rendah.
Fakta ini amat memalukan Umno, kerana jelas laungan transformasi mereka hanya omongan kosong. Hakikat sebenarnya, kerajaan yang ditunjangi Umno-BN mencapai tahap prestasi terburuk terus-menerus selama 10 tahun
Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2011 oleh TI, ia menggariskan kegagalan Najib untuk mencapai matlamat anti-rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Kegagalan untuk menangani gejala rasuah ini, membawa kepada kegagalan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi pendapatan tinggi menjelang 2020.
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia menurun untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas.
Kedudukan Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara pada tahun lepas.
Pada 2003 semasa Abdullah Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri kelima, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara.
Kaji selidik TI ke atas 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi-institusi yang paling korup dalam negara. Juga dilaporkan bahawa kebanyakan warga Malaysia percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa 3 tahun akan datang.
Laporan itu memetik Timbalan Presiden TI, Malaysia Mohammad Ali yang menegaskan, CPI Malaysia terus merosot kerana unsur-unsur kerajaan yang memudahkan rasuah besar masih lagi tersebar luas.
Dakwaan yang begitu berat oleh TI jelas menerangkan serangan ganas Umno terhadap Pakatan Rakyat, khususnya DAP dalam Perhimpunan Agung Umno yang berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.
Serangan Umno ini harus dianggap sebagai langkah terdesak mereka bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan Umno mengatasi masalah rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam isu Fidlot Kebangsaan yang hangat diperkatakan sekarang.
Kita mahu tegaskan di sini bahawa, rasuah akan menjadi isu utama dalam pilihan raya umum yang akan datang, di mana rakyat akan menolak Umno-BN, kerana rakyat sedar, masa depan anak bangsa akan terhapus jika Umno-BN dibiarkan kekal berkuasa. Hidup Pakatan Rakyat, hancur umno-BN.
No comments
Post a Comment