altantuya a/p manajibapan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan telah menyamankan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tindakan Musa tersebut sangat sesuai untuk menjaga reputasinya sebagai Ketua Polis Negara. Jika tidak negara aib besar berketuakan polis yang didakwa sedemikian rupa.

Rakyat juga sedang menunggu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak berani seperti Musa. Sekiranya gagal berbuat demikian, sebaiknya beliau perlu diarahkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya berehat bagi menyelamatkan maruah negara daripada berpeguamkan seorang yang didakwa sedemikian rupa.

Musa, memfailkan saman malu terhadap Anwar berhubung dakwaan memalsukan keterangan mengenai insiden 'mata lebam' di Bukit Aman, 10 tahun lalu, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Kamarul Hisham dan Hasnal Rezua.

Sebelum itu pada 1 Julai lalu, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, mendakwa Musa dan Gani mereka-reka keterangan serta menyembunyikan fakta siasatan berhubung serangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar juga memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti dalam penyediaan laporan perubatan kedua terhadap beliau.

Laporan itu menyimpulkan kecederaan dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, tetapi sebaliknya berkemungkinan disebabkan kemalangan dan perbuatan sendiri.

Pada 11 Julai lalu, Musa melalui peguamnya menghantar surat tuntutan meminta Anwar menarik balik fitnah dan tohmahan lisan itu serta memohon maaf, memberi aku janji untuk tidak mengulangi fitnah itu selain membayar RM5 juta sebagai ganti rugi. Anwar bagaimanapun melalui surat bertarikh 14 Julai lalu menafikan semua tuntutan Musa.

Bila lagi Gani mahu bertindak? Begitu juga dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bukan sekadar bersumpah "Wallahi, Wabilahi, Watallahi" menafikan pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shariibu, tetapi mesti bertindak saman terhadap orang yang menuduh kerana ia melibat maruah beliau dan negara.

Kegagalan berbuat demikian lebih menambah kecurigaan rakyat dan sebagaimana yang dinasihatkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang supaya beliau perlu berehat.

Masa beliau lebih banyak dihabiskan untuk menangkis serangan terhadap peribadi boleh menggugat kelancaran mentadbir negara apalagi dalam keadaan negara dilanda pelbagai masalah kenaikan harga minyak, barang dan keadaan politik Barisan Nasional (BN) yang tidak stabil memang amat wajar Abdullah nasihatkan beliau supaya bercuti.

Nama baik beliau sebagai orang nombor dua negara mesti dijaga dan tidak boleh difitnah sembarangan. Kalau tetap ada orang yang berbuat demikian maka orang tersebut boleh dinobatkan sebagai 'hero' kerana sanggup 'menjolok sarang tebuan'. Mereka ini sengaja mencari nahas `mengejutkan harimau sedang tidur'.

Jadi isu melibatkan maruah dan aib bukan perkara mudah hanya boleh diselesaikan dengan sumpah nanti orang `tidak bersekolah pun boleh buat'. Orang bukan Islam akan mempersenda sistem Islam menyelesaikan masalah maruah dan keaiban.

Sedangkan pada hakikatnya Islam tidak begitu. Langkah Najib itu hanya melihatkan beliau cetek tentang knowledge Islam. Kebodohan itu menyebabkan orang ramai lagi terkeliru dengan Islam kerana mereka sangka sumpah Najib ikut cara Islam.

Najib sebelum ini dilaporkan bersumpah depan Ketua Umno Bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian Umno di seluruh negara yang menghadiri taklimat khas Presiden Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Orang ramai terutama umat Islam dikatakan mempercayai dan mula mempersoalkan bila lagi Anwar mahu bersumpah mengikut langkah Najib.

Kalau Najib mahu menyelesaikan isu beliau mengikut Islam beliau perlu merujuk kepada ulama. Najib tidak perlu takut kerana bukan ulama yang menghukum.

Sekiranya Najib merasa dianiaya dan dimalukan dengan fitnah pernah mengadakan hubungan seks dengan gadis Mongolia sebagaimana didakwa akuan bersumpah pertama, penyiasat persendirian Balasubramaniam, maka beliau perlu bertindak sebagaimana Anwar menfailkan kes di mahkamah syariah di bawah peruntukan qazaf.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun akuan bersumpah Bala tersebut telah ditarik balik dengan akuan bersumpah kedua maka bersih nama Najib daripada tuduhan itu.

Sepatutnya Najib mengambil iktibar bagaimana undang-undang Islam menjaga nama baik pemimpin daripada tuduhan yang mengaibkan mereka. Mungkin bermula daripada sini Najib boleh mencadangkan pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh.

Fitnah terhadap pemimpin yang baik sudah lama berlaku malah sejak Nabi Musa lagi apabila pemerintah Firaun mengupah pelacur membuat pengakuan berzina dengan Musa a.s. Begitu juga dengan Nabi Yusof juga dituduh memperkosa Zulaikha, isteri Raja.

Bagaimanapun Najib perlu membersihkan nama daripada akuan sumpah Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan nama beliau dengan gadis Altantuya yang dibunuh secara kejam. Ia tidak cukup dengan sumpah sebaik beliau mengikut langkah Musa menyaman Anwar.

No comments

Powered by Blogger.