Anak saudara buat laporan 'kehilangan' Balasubramaniam

KUALA LUMPUR 5 Julai - Anak saudara P. Balasubramaniam hari ini membuat laporan polis berhubung 'kehilangan' penyiasat persendirian itu bersama anggota keluarganya sejak 3 Julai lalu.R. Kumaresan, 27, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada pukul 5.20 petang dengan ditemani Peguamnya, N. Surendran.

Dalam laporannya, Kumaresan mendakwa gagal menghubungi bapa saudaranya, Balasubramaniam dan isterinya, S. Senthamil, 30, serta tiga anak mereka berusia antara enam dan 11 tahun, sejak kelmarin.

"Saya bimbang terhadap keselamatan Bala (Subramaniam) dan anggota keluarganya kerana perkara ini (kehilangan) tidak pernah terjadi.

"Saya begitu rapat dengannya (Bala) dan sering bertanya khabar melalui telefon," katanya ketika ditemui di IPD Brickfields di sini hari ini.

Kelmarin, Balasubramaniam mengadakan sidang akhbar bersama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengumumkan akuan bersumpahnya yang antara lain mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

No comments

Powered by Blogger.