Saya tidak gentar


TEGAS... Najib Tun Razak menolak segala tohmahan ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Bahagian Pekan di Pekan, Pahang, semalam.


PEKAN 5 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak gentar menghadapi dugaan termasuk fitnah yang dilemparkan kepadanya kerana yakin kebenaran akan muncul jua.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadapi segala tuduhan dengan sabar dan tenang.

‘‘Saya tidak gentar menghadapi dugaan, saya tidak takut menghadapi fitnah kerana kebenaran tetap akan muncul nanti. Saya dan isteri akan menghadapi segala-galanya.

‘‘Saya tahu kebenaran tetap akan timbul dan yang hak akan mengatasi yang batil. Allah sahajalah yang menentukan mana yang benar, Allah juga yang akan membalas (kejahatan) kalau tidak di dunia ini, di akhirat. Silap-silapnya tak payah di akhirat, di dunia pun dah dapat balasannya,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai hamba Allah, apa yang harus dilakukan sekarang ialah meneruskan perjuangan bagi memastikan agenda rakyat dapat direalisasikan segera.

‘‘Saya akan terus berjuang dan berbakti untuk kepentingan rakyat sama ada di kawasan Pekan mahupun di seluruh negara. Saya akan teruskan apa yang saya buat.

‘‘Saya akan terima orang yang datang ke rumah saya, setakat mana saya mampu melayani mereka. Setakat mana yang saya boleh (penuhi permintaan) tandatangan surat, saya tandatangan surat. Minta saya tenyeh, saya tenyeh.

‘‘Minta tolong saya, sekadar saya mampu tolong, saya tolong. Saya akan buat... akan berbakti kerana itu amanah dan tanggungjawab saya. Tetapi tuan-tuan dan puan- puan pun ada tanggungjawab. Tanggungjawab memastikan UMNO terus kuat,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menggesa pemimpin parti pelbagai peringkat membantu memberi penjelasan kepada rakyat tentang apa yang berlaku di dalam negara dan bukan hanya pandai mengkritik pucuk pimpinan.

Najib turut mengingatkan mereka yang telah dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu, agar bekerja keras untuk terus memenangi hati rakyat.

‘‘Ini kita duduk di kedai kopi, di situ kita kritik pemimpin, semua tidak betul, walhal kita lebih banyak tidak betul, lebih banyak tidak buat kerja, lebih banyak melunjur kaki daripada berjuang dan berjihad untuk parti, bangsa, negara dan agama.

‘‘Buat kerja. Ini bukannya masa untuk kita berbalah sesama sendiri. Bukan masa untuk kita berkerumun, berlonggok sana, berlonggok sini mengata orang. Ini masa pastikan kegemilangan UMNO akan timbul balik di kawasan kita dan negara,” kata beliau.

Beliau mahu setiap pemimpin yang diberi amanah memastikan semua rakyat di kawasan masing-masing berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

‘‘Maknanya, jangan jaga penyokong kita sahaja, saudara mara kita sahaja, puak-puak kita sahaja (tetapi) semua orang iaitu ahli UMNO, yang bakal menjadi ahli UMNO, bakal menyokong Barisan Nasional, semuanya mesti di bawah naungan UMNO,” katanya.

Beliau percaya, segala usaha dan bakti tersebut jika dilakukan dengan hati yang ikhlas, akan menjadi benteng serta perisai kepada mereka sendiri dalam berhadapan dengan segala dugaan dan cabaran.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Peramu Jaya 3 di padang awam Peramu Jaya di sini pula, Najib berkata, beliau tidak bercadang memohon perintah injunksi bagi menghalang mana-mana pihak daripada memfitnahnya dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Baginya langkah itu tidak perlu terutama selepas penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh kononnya beliau ada hubungan dengan wanita Mongolia itu sendiri menarik balik akuan bersumpahnya.

Tegas beliau, penarikan balik akuan bersumpah itu sekali gus membuktikan dirinya tidak ada kaitan dengan Altantuya.

‘‘Buat apa saya hendak dapatkan perintah injunksi kerana dia (Balasubramaniam) telah menarik balik akuan bersumpah yang pertama itu,” tegasnya.

Najib memberitahu, pihaknya bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap Balasubramaniam berhubung akuan bersumpahnya itu.

‘‘Saya tidak mahu berlindung di sebalik perintah injunksi. Saya perlu membuat penafian sekeras-kerasnya terlebih dahulu tetapi sebelum saya mengambil tindakan selanjutnya, dia (Balasubramaniam) telah menarik balik,” katanya.

Najib menjelaskan, tindakannya membuat penafian terhadap tuduhan yang terkandung dalam akuan bersumpah pertama Balasubramaniam itu kerana pembangkang telah mempolitikkan kes pembunuhan Altantuya yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Mengulas sama ada perkembangan terbaru itu menggugat kestabilan UMNO, Najib yang juga Timbalan Presiden parti yakin ahli semakin matang dalam menilai segala yang berlaku.

No comments

Powered by Blogger.