Dunia rosak akibat zionis dan penjajah
Thu | Jul 10, 08 | 7:00:31 am MYT
Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan yang strategik di peta dunia.
Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh dunia sama ada di Timur atau Barat.
Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia.
Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.
Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.
Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.
Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita.
Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.
Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.
No comments
Post a Comment