Moga PAS bebas zahirkan perjuangannya

Imam al Ghazali pernah berkata:

"Agama itu asas dan kerajaan itu pengawalnya. Maka sesuatu yang tiada asas akan tumbang manakala sesuatu yang tanpa pengawal pasti akan hilang".

Justeru itu tidaklah menghairankan apabila dalam wawancara eksklusifnya bersama Harakah baru-baru ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang menyarankan agar sudah tiba masanya bagi Islam diberi peluang untuk dilaksanakan demi melahirkan keadilan dalam negara kita yang tercinta ini.

Ibnu Taimiyyah pernah menulis:

"Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam manjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." (as Siayasah as Syariaah)

Tuan Guru Presiden menyebut bahawa PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Lantaran itu dengan dasar dan matlamat perjuangan yang jelas sudah pastilah kemenangan kecil yang dikurniakan oleh Allah swt melalui pilihan raya umum lalu, mendorong PAS untuk bangkit bagi melaksanakan apa yang diperjuangkannya dalam apa sahaja ruang dan kerangka yang dibenarkan.

Memang kemenangan PAS kali ini bertenggek di atas kekuatan bersama melalui gagasan Pakatan Rakyat, namun sebagai rakan yang menurut Tuan Guru Presiden, telah memberikan sumbangan yang besar sehingga terbentuknya kerajaan di negeri-negeri baru selain Kelantan ini, sudah pastilah ruang dan peluang perlu diberikan dan dibuka buat PAS untuk melaksanakan tuntutan perjuangannya. PAS mahukan pengiktirafan dari kawan-kawannya, dan apakah pengiktirafan yang lebih besar bagi PAS selain dibenar menekankan kepada perlaksaan syariat Islam khasnya dikalangan rakyat yang beragama Islam.

Saya yakin dan percaya luahan hati Tuan Guru Presiden PAS ini yang disokong dan didokong oleh seluruh kekuatan jentera dan ahlinya akan didengar dan diberi perhatian oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa yang disuarakan oleh beliau adalah tuntutan agama yang merupakan asas kuat yang membentuk perjuangan PAS sejak berdekad-dekad yang lalu.

Kata Tuan Guru Presiden lagi:

Di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam.

Mengizinkan umat Islam melaksanakan apa yang wajib dalam agama mereka sudah pasti selaras dengan Perlembagaan Negara yang menempatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

PAS telah berkorban dan merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, melalui kekuatan jentera dan ahli-ahlinya. Walaupun dari sudut bilangan kerusi Parlimen PAS mungkin memegang saham yang terkecil tetapi dari sudut bilangan kerusi dewan undangan negeri PAS memiliki saham terbesar berbanding DAP dan PKR iaitu dengan 83 kerusi diikuti DAP 73 dan PKR 40.

Lantas di peringkat ini padan sangatlah bagi Presiden PAS untuk menuntut laluan bagi rakan-rakan untuk mengizinkan PAS melaksanakan program Islamnya yang pada dasarnya sudah pasti akan menguntungkan Pakatan Rakyat, kerana ia sesungguhnya nanti akan menambat hati dan sokongan dari masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam.

PAS tidak boleh meninggal atau menggugurkan Islam. Besar atau kecil kemenangannya atau tiada kemenangan langsung, Islam akan terus dijunjung atas kepala bahu setiap ahli dan pejuangnya yang istiqomah.

Benarlah sebagaimana tulisan seorang EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di dalam blognya:

"Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula."

Semoga atas semangat Pakatan Rakyat ini PAS akan bebas menzahirkan apa yang ia perjuangkan.
roslan sms

No comments

Powered by Blogger.