PAS TIDAK PERLU MENJADI LILIN MEMBAKAR DIRI

Kenyataan tegas Presiden PAS, bahawa PAS tidak ada cadangan untuk bekerjasama dengan UMNO, menghapuskan sebarang spekulasi yang mungkin ada. Ini memudahkan PAS mengatur garis strateginya tanpa celaru.

Setiap kali UMNO terdesak, isu Melayu-Islam akan pasti muncul. Umpan inilah yang dicampakkan semula kebelakangan ini. Sudah tentu tujuannya ialah untuk mengukuhkan semula kedudukan UMNO yang goyah. Ini kerana ia memerlukan semula majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Dewan Rakyat yang hilang di dalam pilihanraya 8 Mac 2008 yang lalu.





Kali pertama UMNO dan rakan-rakan politiknya hilang majoriti dua pertiga ialah di dalam pilihanraya umum 1969. Akibatnya UMNO segera menggerakkan tindakan menjemput parti-parti yang dianggap lawan oleh UMNO sebelumnya untuk menyertai pakatan bersama dan dengan itu terbentuklah Barisan Nasional.

Kesannya, UMNO kembali kuat diatas perpecahan PAS. PAS seakan menjadi ‘hemar’ atau keldai tunggangan dan kemudiannya ditendang terajang selepas PAS ditunggang ke destinasi pilihan UMNO.

PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional dan pada masa yang sama, PAS kehilangan kubunya di Kelantan. Penyertaan PAS bersama UMNO menghabiskan ciri-ciri perbezaan perjuangan PAS-UMNO, dan PAS terhina dalam politik negara lalu terpaksa bangun semula dengan meniti di laluan yang sukar.

Rombakan kepimpinan PAS berlaku ekoran dari hasrat untuk bertolak dari titik yang baru. Kepimpinan Asri Haji Muda ditolak sebahagiannya atas hasrat memutuskan nostagia ikatan dengan mentaliti ala Barisan Nasional.

Kepimpinan ulama’ mengambil teraju dengan harapan baru, mendidik ahli dengan fitrah Islam tulin yang tidak bercampur aduk dengan faham kebangsaan Malaysia.

Bersama UMNO walaupun sekejap, juga menyebabkan kesan balas yang dahsyat hingga berlaku perpecahan dalaman sehingga wujudnya serpihan Berjasa dan Hamim.

PAS mengambil masa yang panjang untuk berada di kedudukan sekarang.

Jika pada tahun 1969, ketika UMNO dan rakan-rakanya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, UMNO mendekati PAS untuk ‘survivalnya’, secara semulajadi inilah juga garis strategi yang ada pada hari ini. Lebih-lebih lagi dengan pergolakan dalaman dan krisis kepimpinan yang wujud di dalam UMNO pada masa ini.

Sesiapa yang berjaya membawa PAS bersama akan ditabalkan sebagai ‘hero’ perpaduan Melayu dan kepimpinannya di dalam UMNO akan menjadi kukuh dan kuat, samada Abdullah Ahmad Badawi atau Najib Tun Razak.

Kekalahan UMNO pada tahun 1969, telah membawa pertukaran kepimpinan di dalam UMNO. Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan Tun Abdul Razak mengambil alih sebagai Presiden UMNO.

Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional di lima negeri dan kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihanraya 2008 bagaimanapun tidak menggugat Abdullah.

Walaubagaimanapun, UMNO di 4 buah negeri, sewaktu pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang dipengerusikan oleh Najib telah dengan jelas meminta Abdullah berundur. Abdullah jelas berdegil dan tidak menunjukkan sikap yang sama dengan Tunku.

‘Tun Razak’ belum mengambil alih, ‘Tunku’ mahu meneruskan kepimpinannya.

Pilihan yang terbuka adalah untuk ‘Tunku’ mendekati PAS untuk mencari ‘keldai’ yang boleh ditunggangnya. Secara automatik ‘Tunku’ akan kuat kembali dan ‘Tun Razak’ mungkin terkorban. Ia satu perhitungan yang menguntungkan. Lebih-lebih lagi di dalam menuju pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang akan berlangsung Disember ini.

Abdullah masih menguasai suasana. Sistem kuota di dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO boleh menjamin kemenangan beliau. Tetapi beliau ‘dipaksa’ berjanji untuk berundur selepas Disember.

Pengganti beliau sudah tentu Timbalan Presiden UMNO pada waktu itu. Jika Presiden berundur selepas beliau baru sahaja dipilih, bermakna Timbalan yang menggantikan beliau akan memangku jawatan Presiden sehinggalah pemilihan pucuk pimpinan baru tiga tahun selepas itu. Ini agak janggal.

Jika benar Abdullah ingin berundur, pemilihan Disember ini adalah waktu terbaik untuk pengesahan pengganti beliau melalui mekanisme parti. Beliau undur, pemimpin baru disahkan sebagai Presiden dan dengan mandat parti seperti itu, kepimpinan beliau akan mantap.

Pilihan ini tidak akan berlaku, Abdullah akan kekal sebagai Presiden, apakah beliau akan berundur selepas disahkan sebagai Presiden sekali lagi?

Tidak mungkin. Bagaimana dengan janji-janji beliau untuk melaksanakan sistem penggantian? Kerjasama dengan PAS akan serta merta menyumbang talian hayat kepimpinan beliau.

PAS sudah tentu tidak akan terperangkap dengan permainan ini. Biarlah UMNO ‘masak’ dan mendidihnya sendiri tanpa api dari lilin yang membakar diri sendiri.

No comments

Powered by Blogger.