Saya Setuju UMNO Lenyap - Nik Aziz


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan ulasan berhubung isu wujudnya pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga selaku Presiden UMNO. Pertemuan itu dikatakan adalah untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui perjumpaan tersebut diadakan. Katanya perjumpaan pertama dengan Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad.
Bagaimanapun pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS. Ikuti temubual Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ini bersama para wartawan di Kota Darulnaim, petang tadi.

Wartawan : Boleh Tok Guru jelaskan apa yang berlaku setakat ini?

Mursyidul Am : Isu muzakarah yang dibesar-besarkan oleh pihak tertentu, bagi saya tidak ada benda baru yang saya nak tambah. Apa yang saya nak sebut ialah mengulang kenyataan saya yang lepas kerana bila berlaku keadaan begini orang PAS tetap marah pada orang PAS dan orang Pakatan Rakyat pun marah pada PAS. Akhir sekali PAS akan jadi kera sumbang, kiri kanan jadi akan marah.

Ini bukan cara kita berpolitik, kita politik macam ini ertinya politik tuduh lawan; bukan kata pakat-pakat jaga kestabilan politik. Ini perangkap namanya. Yang timbul begini pun satu kejayaan kepada lawan.

Kedua, orang PAS kena tanya diri mereka sendiri sama ada nak jaga PAS (parti) ke atau nak jaga Islam? Kalau sekadar nak jaga PAS, ini bukan hala tuju PAS kerana kita nak jaga Islam. Nak berkwan dengan UMNO apa yang kita dapat? UMNO parti yang memusnahkan Islam. Mereka melonggarkn iman orang Melayu, longgarnya iman orang Melayu kerana UMNO.

Jadi kalau nak jaga PAS, ini bukan perjuangan PAS. Tapi kalau PAS dibuat untuk jaga Islam itu bukan cara PAS kerana UMNO parti sekular iaitu parti hanya semata-mata setakat hidup atas dunia. Tak ada dalam kepala mereka hidup ketika di Padang Mahsyar (akhirat) macam mana sedangkan Islam ni hidupnya hanya ialah merentasi kubur menuju Padang Mahsyar.

Wartawan : Pada pandangan Tok Guru, kenapa kenyataan isu ini diperbesarkan ?

Mursyidul Am : Bila ada di muka depan akhbar, ini bukan kerja individu itu tetapi orang surat khabar yang letak muka depan untuk lariskan akhbar mereka. Itu sajalah lagipun mereka ini tak fikir dari sudut berita itu adalah serangan terhadap PAS. Kita pun tak boleh lawan tapi apa yang kita ada hanya ceramah atau blog. Surat khabar yang ada semuanya pro UMNO.

Wartawan : Adakah Tok Guru tak happy dengan perkembangan atau kenyataan ini?

Mursyidul Am : Tak happy, tak seronok. Saya kata berkali-kali tak boleh. Tak boleh kita nak berunding dengan UMNO, kita terperangkap. Dahlah kita dah terperangkap sekali dalam tahun 70an dulu, takkan nak terperangkap semula?

UMNO lemas lemas sekarang jadi dia nak minta tolong PAS sedangkan PAS bekerja keras untuk melemaskan UMNO. Bila UMNO sudah lemas sekarang kita nak angkat balik bukan kerja kita. Biar lemaslah dia, sudah 50 tahun kita lawan UMNO. Nak lemas lagi, kita lanyak lah lagi.

Wartawan : Kenapa Presiden tidak beritahu buat perjumpaan itu?

Mursyidul Am : Wallahu’alam saya tak boleh kata apa sebab itu orang lain yang buat.

Wartawan : Maksud tak happy tadi merujuk kepada kenyataan Presiden PAS atau Perdana Menteri?

Mursyidul Am : Kedua-dua lah (ketawa)

Wartawan : Jadi, apa tindakan seterusnya?

Mursyidul Am : Terserah pada parti lah.

Wartawan : Sekarang ini macam tidak ada persefahaman antara Presiden PAS dengan Tok Guru selaku Mursyidul Am PAS?

Mursyidul Am : Sehingga hari ini saya tak jadi masalah, hidup kita ni tak boleh duduk senyap saja, banyak mana kita boleh luah kita luah. Kemudian kita dengar balik reaksi balas. Sekarang orang tu luah masalah dia sekarang saya kita nak lawan balik. Tanda kita hidup demokrasi

Wartawan : Adakah Tok Guru berjumpa dengan Presiden dan beritahu dia apa patut lakukan?

Mursyidul Am : Tak beritahu, saya cuma dengar berita dan saya jawab. Saya tak boleh lah nak pandai-pandai sampai peringkat tu.

Wartawan : Adakah persefahaman antara Tok Guru dengan Presiden masih ada?

Mursyidul Am : Tetap ada, tak berpecah, kalau PAS berpecah ertinya menanglah UMNO, seronoklah UMNO kerana dia berjaya pecahbelahkan PAS. Oleh itu kita mesti bersatu.

Wartawan : Adakah Tok Guru rasa PAS dalam ambang atau akan hadapi perpecahan?

Mursyidul Am : Tak ada perpecahan. Kalau kita berpecah menanglah UMNO, berjaya lah UMNO dalam usahanya memecahbelahkan PAS.

Wartawan : Adakah Tok Guru rasa kecewa sebab tak diberitahu tentang perjumpaan itu (Presiden PAS dengan Perdana Menteri)?

Mursyidul Am : Tak juga…cara kita hidup atas dunia begitulah, macam suami isterilah tak semestinya kita buat kita tak sedar tetapi saya tetap menolak muzakarah tu.

Wartawan : Kalau mereka berkeras nak buat juga?

Mursyidul Am : Kalau nak buat juga kena tunggu lepas pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) lah. Itupun kalau perlu (ketawa).

Wartawan : Apa pendapat Tok Guru untuk hentikan isu ini?

Mursyidul Am : Sebab itu saya kata tadi tak ada nak tambah benda baru, tak ada. Dengan tujuan nak berhentikan isu ini. Kecuali orang PAS terus perhidupkan benda ni. Akan terus hiduplah. Lepas pada ni takkan ada lah perkataan yang keluar dari saya.

Wartawan : Apa harapan Tok Guru pada penyokong kita?

Mursyidul Am : Harapan saya supaya mereka bertenang dan jangan terpengaruh dengan taktik yang dibuat oleh musuh. Saya setuju supaya umno lenyap di muka dunia. Nak lenyap atas muka dunia payah juga sebab mereka manusia walau bagaimanapun biarlah dia duduk setaraf sebagai pembangkang selamanya.

Wartawan : Adakah ini kenyataan terakhir isu muzakarah?

Mursyidul Am : Saya ingat begitulah.

Wartawan : Kalau Presiden PAS dan parti masih nak terus rancangan untuk buat muzakarah?

Mursyidul Am : Mudah-mudahan berhenti sahajalah. Banyak lagi kerja lain, lagipun kita sudah dekat dengan Muktamar PAS. Tak payah buat debu tengah jalan sampai orang kelabu mata.

Wartawan : Adakah isu ini boleh dibincang pada Muktamar PAS nanti?

Mursyidul Am : Boleh jadi bincang. Terserah pada perwakilan.

Wartawan : Adakah Tok Guru nak adakan pertemuan dengan Presiden?

Mursyidul Am : Saya serah pada orang berkenaan. Saya tak suka masuk campur perkara macam ni.

Wartawan : Macam mana pula dengan perjumpaan lima Menteri Besar Pakatan Rakyat?

Mursyidul Am : Kita ni macam keluarga, takkan tak boleh nak berjumpa.

Wartawan : Apa tujuan perjumpaan ini?

Mursyidul Am : Dalam kepala saya dah ada rangka (pertemuan) walau bagaimanapun tujuannya untuk kukuhkan Pakatan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.