Tentera tetap bersama rakyat

Oleh W.FAUZDIN NS

 Negara kita telah menempuhi berbagai ranjau di dalam merealisasikan sistem demokrasi semenjak merdeka lagi. Sepanjang tempoh itulah Angkatan Tentera Malaysia sewajarnya dipuji kerana ketaatan mereka kepada kerajaan dan rakyat. Komitmen ATM sentiasa tinggi di dalam menentukan negara ini selamat dari anasir-anasir jahat atau musuh-musuh yang ingin mengancam rakyat dan negara tercinta ini. Prinsip bahawa ATM berkecuali dari pertembungan politik tanahair sentiasa dipegang.

Di dalam peristiwa Sauk satu ketika dahulu, imej ATM sedikit tercalar. Namun, kerosakan yang berlaku telah dapat dipulihkan dengan perubahan pemerintahan di dalam ATM. Selepas peristiwa Sauk yang sehingga kini masih sukar difahami, pucuk pimpinan dan pemerintahan ATM melakukan perubahan dan kini ATM kembali dihormati. Kejayaan pemerintahan ATM yang penuh disiplin dan tidak terikut dengan gaya politik semasa wajar diberi pujian.



Baru-baru ini ada percubaan untuk mengurangkan keyakinan masyarakat terhadap fungsi dan peranan ATM. Ini berlaku adalah kerana tempias `kepanasan' yang dihadapi oleh parti yang memerintah. Latihan bersama dengan PDRM bagi mengawal ketenteraman awam yang dipraktikkan baru-baru ini kelihatan seperti ingin menguji keyakinan rakyat terhadap ATM. Ramai dikalangan warga tentera sendiri mungkin merasakan apa perlunya ATM dilibatkan dengan tugas seperti ini. Di saat negara kita menghadapi kebanjiran pendatang tanpa izin, amatlah wajar sekiranya peranan membenteras pendatang tanpa izin ini diberi keutamaan oleh ATM. Apakah selama ini perhimpunan atau protes rakyat di negara ini begitu mengancam negara sehingga perlunya bantuan ATM? Atau mungkinkah PDRM sudah tidak mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik?

PDRM mempunyai sejarah dan rekodnya yang tersendiri khususnya berdepan dengan kebangkitan rakyat yang mahukan hak untuk bersuara. Bukan sedikit rakyat yang menjadi mangsa akibat sikap tidak profesional PDRM. Kebanyakan yang menjejaskan imej dan maruah PDRM adalah kerana sikap ketua mereka yang menjalankan tugas secara tidak profesional seolah-olah mereka anggap PDRM adalah salah satu badan politik yang berjuang untuk kepentingan politik. Inilah sebabnya mengapa rakyat meletakkan jauh perbezaan di antara PDRM dengan ATM.


Saya percaya, rakyat masih menaruh harapan terhadap ATM untuk terus berkhidmat dengan profesional. Kesusahan rakyat adalah kesusahan mereka juga. Perajurit-perajurit ini kebanyakannya datang dari kampung, dari keluarga yang miskin dan sederhana. Mereka lebih faham dan mengerti erti kesusahan. Anggota tentera seharusnya menjaga keselamatan rakyat bukan menganiayai atau menyusahkan mereka. Jangan terpedaya dengan mana-mana pihak yang mempunyai motif tertentu untuk melibatkan ATM agar turut tercemar seperti mereka. Amat malang sekali sekiranya rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap ATM dan menganggap kerjaya ATM amat menjijikkan. Peliharalah nama baik ATM sebagai pasukan keselamatan untuk bangsa, ugama dan tanahair bukannya sebagai badan politik atau lebih jelik lagi sebagai `barua politik'.


Mudah-mudahan seluruh anggota tentera tetap bersama rakyat di kala senang dan susah walaupun terpaksa kita mati dan dikuburkan bersama. Kamu telah merantau dan berjuang ke beberapa buah negara dalam perbagai misi keamanan bagi mempertahankan rakyat dan negara di luar sana, masakan kamu sanggup memijak, memukul dan menzalimi rakyat di negara tempat tumpah darahnya kamu. Semoga Allah memberkati dan memelihara pengorbanan seluruh warga ATM.



W.FAUZDIN NS


No comments

Powered by Blogger.