Batu Puteh: Nelayan M'sia boleh tangkap ikan

Nelayan Malaysia boleh meneruskan kegiatan penangkapan ikan secara tradisional di kawasan perairan melebihi 0.5 batu nautika di Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin.

pulau batu putih pulau batu puteh 230508Perkara itu dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Singapura George Yeo dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kementerian republik itu semalam.

Dalam kenyataan tersebut, kedua-dua negara mengulangi komitmen masing-masing untuk mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin.

Kedua-dua negara juga bersetuju melaksanakan sepenuhnya keputusan mahkamah itu dengan meneruskan perbincangan sebagai susulan kepada mesyuarat pusingan pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) di sini pada 3 Jun lalu, demikian menurut Bernama.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar Singapura George Yeo dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Singapura di republik itu semalam.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara menegaskan komitmen masing-masing berhubung perkara berkenaan semasa pegawai kanan Malaysia-Singapura bermesyuarat di Putrajaya pada 20 Ogos bagi membincangkan lebih lanjut pelaksanaan keputusan ICJ berkaitan tiga bentukan marin di Selat Singapura itu.

Pada pertemuan itu, delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Rastam Mohd Isa manakala delegasi Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Peter Ho.

Isu pengurusan maritim

Kenyataan itu menyebut bahawa MSJTC telah mengkaji tugas Jawatankuasa Kecil mengenai Kerja Ukur Bersama dan bersetuju agar jawatankuasa itu mengadakan perbincangan pada minggu berikutnya bagi memuktamadkan persiapan teknikal berkaitan kajian hidrografik yang dijalankan secara bersama oleh kedua-dua negara.

Mesyuarat itu juga meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kecil mengenai Pengurusan Maritim, Ruang Udara dan Perikanan yang bermesyuarat pada hari yang sama.

Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa kegiatan penangkapan ikan secara tradisional oleh nelayan Malaysia dan Singapura boleh diteruskan di kawasan perairan melebihi 0.5 batu nautika dari Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin.

MSJTC juga bersetuju jawatankuasa kecil berkenaan perlu mengadakan perbincangan pada minggu-minggu berikutnya, berkaitan isu pengurusan maritim dan ruang udara.

Kenyataan itu menyebut bahawa kedua-dua pihak amat berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama serta bersetuju agar mesyuarat berikutnya diadakan di sini bulan ini.

Singapura mencetuskan kekecohan baru-baru ini apabila mengumumkan akan menuntut wilayah laut dan zon ekonomi eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.

Menteri Negara Kanan republik itu Balaji Sadasivan berkata Singapura memiliki sempadan wilayah laut yang mengunjur hingga 12 batu nautika dan wilayah EEZ mengikut peruntukan Konvensyen Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 10 Disember 1982.

No comments

Powered by Blogger.