Kenyataan disalah lapor - PM

TASEK GELUGOR 6 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail telah melahirkan rasa kesal yang amat sangat ekoran kenyataannya yang menjadi kontroversi selepas sebuah akhbar tersalah lapor mengenainya walaupun bagi beliau ia satu fakta sejarah.

Menurut Perdana Menteri, Ahmad turut menyatakan beliau bukan membangkitkan isu perkauman malah memberi sokongan kepada calon bukan dari UMNO yang bertanding di kawasan itu sejak mengambil alih jawatan Ketua Bahagian.

''Saya telah minta beliau menerangkan kenyataannya itu pada mesyuarat hari ini dan ini adalah kali pertama Badan Perhubungan UMNO negeri mendengar kes berkenaan.

''Dia telah menyatakan bahawa dia bukan perkauman dan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad telah menyokong calon BN yang bertanding di kawasan itu yang bukan daripada UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua UMNO bahagian termasuk Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.

Dua hari lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Ahmad tampil memberi penjelasan berhubung kenyataannya yang didakwa bersifat hasutan terhadap masyarakat Cina.

Mengenai mesyuarat hari ini, Abdullah memberitahu, selain isu berkaitan Ahmad, turut disentuh ialah keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh yang laporan post mortem akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO Pusat untuk diteliti dan dihalusi.

''Laporan post mortem itu telah disediakan dan akan dihalusi," katanya.

Mengenai pemilihan UMNO peringkat cawangan di Pulau Pinang, beliau berkata, semuanya berjalan lancar dan tidak ada masalah yang timbul mengenainya.

pak lah lagi hebat......jadi hero hahahahahha

No comments

Powered by Blogger.