pak lah kata bn tak berpecah belah...perbodohkan rakyat lagi

BN Tidak Berpecah Belah, Kata PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan tanggapan bahawa parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) kini berpecah belah dan menuju kehancuran.

"Tidak, anda silap mentafsirkannya. Kami sesekali tidak akan membenarkan perkara itu berlaku (BN berpecah belah atau menuju kehancuran). Kami seperti pasukan bola. Sangat agresif tetapi kami bermain permainan yang sama.

"Kami mensasarkan kepada satu gawang gol lawan supaya kami menang," kata Abdullah, yang juga Pengerusi BN, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato' Onn di sini, Selasa.

Menjawab soalan bahawa beliau kini hilang kawalan terhadap parti gabungan itu, beliau berkata itu bukan masalahnya kerana isu, khususnya berhubung Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail, di dalam BN akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Abdullah berkata beliau berasa gembira kerana pemimpin yang hadir hari ini menegaskan bahawa kesemua mereka mesti bersama-sama dalam BN untuk menghadapi apa jua ancaman, rintangan dan cabaran bersama-sama.

"Kita mesti menghadapi bersama serta berkerjasama terhadap semua ini dalam usaha menjayakan rancangan-rancangan parti BN," katanya.

Beliau berkata adalah penting kehendak, suara serta luahan rakyat sampai kepada BN dan dalam hal ini saluran komunikasi secukupnya perlu diadakan agar rakyat dapat berhubung rapat serta menyampaikan kehendak mereka kepada BN.

Abdullah turut menggariskan beberapa perkara untuk mengubah serta memulihkan BN dan ini termasuklah mengerakkan jentera penerangan mengenai kegiatan parti serta dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata kegiatan parti perlu dijalankan bersama dan bukan membiarkan parti-parti komponen melaksanakan secara bersendirian.

"Kegiatan yang dilakukan oleh parti perlu dipastikan penyertaannya daripada ahli-ahli komponen BN," katanya.

Abdullah berkata mesyuarat yang diadakan juga tidak harus terhad hanya kepada mesyuarat di peringkat nasional sebaliknya mesyuarat di semua peringkat.

"Kita juga perlu wujudkan satu badan penyelidikan yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada parti-parti komponen. Ia tidak boleh dikhaskan atau diharapkan dijalankan oleh mana-mana satu parti politik bagi pihak yang lain," katanya.

Abdullah berkata badan-badan penerangan dalam BN mesti terdiri daripada badan dan kumpulan yang dianggotai oleh semua anggota parti komponen supaya ada penyelarasan serta komitmen untuk menunjukkan bahawa semua parti dalam BN saling memahami serta komited terhadap apa yang dirancang oleh parti melalui kegiatan mereka.

-- BERNAMA
kita pikir la maksud sebaliknya....dia saja nak sedapkan hati hahaha..

No comments

Powered by Blogger.