pak lah...kalau berani jumpa la anwar..
Siapa Yang Layak Menggantikan Abdullah Sekarang
Siapa pula yang layak menggantikan Abdullah? Beberapa nama layak untuk dipertimbangkan sebagai pengganti. Antaranya adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Peluang Najib
Najib selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO wajar dijadikan pilihan utama. Memang kebelakangan ini ada pihak yang kecewa dengan Najib kerana membisu dan seolah-olah sentiasa bertindak mengikut rentak dan kehendak Abdullah. Najib juga dikatakan kononnya sebagai pilihan yang tidak tepat kerana beliau sedang diselubungi oleh persepsi umum yang negatif yang tidak perlu dihuraikan di sini.
Bagaimanapun, banyak pihak pula menghujjah bahawa Najib adalah pengganti terbaik kepada Abdullah. Kenyataan Najib mengenai peralihan kuasa yang ditegaskannya tiga hari lalu pun sudah menghapuskan sebilangan besar persepsi umum yang negatif terhadap dirinya.
Kegembiraan dan penerimaan warga UMNO di atas kesanggupan Najib mengeluarkan kenyataan mengenai peralihan kuasa tiga hari yang lalu nampaknya bukan ilusi.
Rata-rata warga UMNO yang menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Najib di Putrajaya malam tadi mengatakan bahawa mereka memperolehi semangat baru untuk menyanggah Abdullah bila Najib sendiri sudah bersuara dengan jelas dan tegas mengenai formula peralihan kuasa berkenaan.
Warga UMNO ini meminta Najib tidak berganjak daripada kenyataan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008. Mereka juga berpendapat bahawa seluruh persepsi negatif akan hapus jika Najib berani bersuara menyanggah Abdullah.
Tetapi, jika Najib masih memilih untuk berdolak-dalik mengenai formula peralihan kuasa ini, pilihan kedua sebagai pengganti Abdullah adalah Muhyiddin.
Muhyiddin
Sejak PRU 12, Muhyiddin jelas amat konsisten dengan pendapat dan pendiriannya mengenai UMNO, BN dan rakyat jelata seluruhnya. Sehingga tiga hari lalu, Muhyiddin kelihatan seperti bertindak keseorangan dan tidak senada dengan Najib yang membisu.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai insan “lurus bendul” telah menegaskan berkali-kali bahawa beliau tidak akan “melangkah bendul” untuk membelakangkan Najib dalam hiraki kepimpinan UMNO dan negara. Ini bermakna Muhyiddin akan sentiasa mendahulukan Najib untuk menggantikan Abdullah dalam tempoh terdekat ini.
Tetapi, jika Najib dan Muhyiddin masih lagi was-was dan kurang keyakinan untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri, pilihan ketiga adalah Razaleigh. Pemimpin veteran ini disifatkan sebagai satu-satunya tokoh yang mampu mengemudikan bantera perjuangan negara, terutamanya ketika dunia sedang melangkah ke era ekonomi yang muram dan suram ketika ini.
Kebelakangan ini Razaleigh dikatakan akan menerima sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah memutuskan kembali semula ke pangkuan UMNO setelah berkelana sejak kira-kira empat bulan yang lalu.
Kini sampailah kepada persoalan bilakah kerajaan BN perlu menukar pemimpin nombor satunya. Mood pada hari ini membayangkan pertukaran ini perlu dilaksakan sekarang dan selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Sebab-sebabnya tidak perlu dihuraikan di sini. Ianya rahsia terbuka yang sudah diketahui umum. Tetapi, matlamatnya adalah supaya pemimpin yang baru mempunyai waktu secukupnya untuk memperkasakan semula UMNO, BN dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata menjelang PRU 13.
Majlis Tertinggi
Lantaran itu, apakah pendekatan yang paling sesuai untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri daripada UMNO, BN dan kerajaan? Setakat ini ada dua pendekatan yang jelas – menerusi Majlis Tertinggi UMNO atau menerusi bahagian-bahagian UMNO yang akan mengadakan sidang perwakilan masing-masing selama sebulan mulai 10 Oktober 2008.
Maka di sinilah relevannya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 ini. Dalam mesyuarat ini Najib wajar mengulangi kenyataannya mengenai formula peralihan kuasa yang dihebahkan tiga hari lalu.
Suara Najib ini wajar didukung oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi UMNO, khususnya seluruh Naib Presidennya, termasuklah Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Puteri.
Dalam menyatakan sokongan dan dukungan ini, wajar sekali ditegaskan tempoh bilakah peralihan kuasa itu perlu dikuatkuasakan supaya ianya boleh diendorse oleh mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian UMNO.
Tempoh yang paling ideal adalah 1 Januari 2009. Ini akan membolehkan barisan kepimpinan yang baru menerima sokongan rakyat jelata dengan azam baru ke arah menyemarakkan semula perjuangan BN menjelang PRU 13.
Council Of Elders
Pendekatan dan tindakan di atas pasti akan mematikan langkah PR untuk menjela-jelakan propagandanya bahawa PR akan membentuk Kerajaan Pusat tidak lama lagi. Pendekatan dan tindakan ini juga dipercayai akan menyebabkan mana-mana pihak yang dijangka melompat kepada PR untuk mengubah niat masing-masing dan terus bersama-sama berjuang memperkasakan semula BN, UMNO dan kerajaan demi agama, bangsa dan tanahair.
Huraikan di atas hanya gagasan yang dangkal daripada seorang ahli biasa UMNO. Bagaimanapun, saya yakin kepimpinan yang baru kelak pastinya akan mengisi perubahan ini dengan pelbagai pembaharuan yang strategik dan structural supaya wujud pelbagai bentuk koreksi nasional yang komprehensif terhadap apa jua perkara yang selama ini menjadi masalah dan kekangan kepada UMNO, BN dan kerajaan untuk memperolehi sokongan majoriti rakyat jelata.
Dan, wajar juga dihalusi gagasan beberapa pihak kebelakangan ini supaya diwujudkan satu council of elders atau council of statesmen yang akan memainkan peranan check-and-balance kepada kerajaan di samping check-and-balance di peringkat parti yang perlu dilakukan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Majlis Tertinggi BN.
Akhir sekali, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT semoga niat baik yang dicetuskan di hari baik dan bulan baik ini akan direstuiNya serta menghasilkan satu iltizam serta corak perjuangan untuk memertabatkan kedaulatan rakyat Malaysia seluruhnya. KEPADA ALLAH BERSERAH!
No comments
Post a Comment