PM Jepun letak jawatan

TOKYO 1 Sept. – Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda mengumumkan meletakkan jawatan serta-merta malam ini, selepas menghadapi jalan buntu berdepan krisis politik dan perbalahan dengan pembangkang.

“Hari ini, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan. Kita perlukan satu pasukan baru untuk mengendalikan dasar di Parlimen,” katanya ketika mengumumkan peletakan jawatannya pada sidang akhbar di sini malam ini.

Fukuda, 72, bagaimanapun, tidak menyebut tentang pilihan raya baru, bagaimanapun keputusannya itu membuka jalan kepada pemilihan kepimpinan baru dalam parti pemerintah itu.

Calon yang disebut-sebut menggantikan beliau ialah Taro Aso, 67, bekas Menteri Luar Jepun yang disifatkan lebih karismatik dan berpendirian konservatif.

Fukuda berkata, beliau membuat keputusan itu berikutan ketegangan di Parlimen.

Parti pembangkang, Parti Demokratik yang menguasai Dewan Rendah Jepun telah mengadakan kempen agresif menentang agenda Fukuda.

“Parti Demokratik telah cuba untuk menangguhkan semua rang undang-undang supaya kerajaan lambat melaksanakan sesuatu dasar.

“Demi kepentingan rakyat Jepun, perkara tersebut tidak patut berlaku lagi,” ujarnya.

Fukuda yang memimpin Parti Liberal Demokratik, bagaimanapun tidak perlu memanggil pilihan raya sehingga September tahun depan.

Fukuda memegang jawatan tersebut hampir setahun lalu dengan harapan untuk menghidupkan semula Parti Liberal Demokratik, yang semakin lemah.

Beliau bagaimanapun menerima kecaman hebat apabila rancangan perubatan yang diketengahkannya tidak mendapat sambutan daripada rakyat kerana cadangan itu menyebabkan kos kehidupan warga emas di Jepun meningkat.

– AFP

No comments

Powered by Blogger.