rafidah berkokok.....

Sistem Kuota Nafi Hak Mereka Yang Layak, Kata Rafidah

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Sistem kuota pemilihan Umno perlu dihapuskan kerana ia menafikan hak orang yang layak untuk bertanding, dan satu kerugian kepada parti apabila kuota pencalonan itu diperoleh secara membeli, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

"Ada orang yang ghairah nak dapatkan kuota nak bertanding. Padahal kadang kala dia tak layak bertanding dari apa segi pun. Tapi dia ada duit, dia boleh "beli" orang yang boleh mencalonkannya," kata Ketua Wanita Umno itu.

Beliau yang bersetuju dengan saranan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya sistem kuota dalam pemilihan parti dihapuskan bagi menjaga kestabilan parti daripada gejala politik, berkata kerana ia disalahgunakan oleh sesetengah pihak yang menggunakan kuasa wang semata-mata untuk dicalonkan.

"Kerana nak dapatkan kuota ini (untuk dicalonkan jawatan dalam parti), mungkin ada yang berusaha lebih-lebihan bergantung kepada khidmatnya. Orang ingat khidmat dia orang nominate (calonkan).

"Tapi sesetengah orang tak ingat khidmat, agaknya dia tengok bayaran," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan hari raya Wanita Umno kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di sini, Selasa.

Rafidah berkata cadangan untuk menghapuskan sistem kuota itu sudah dikemukakan sejak Tun Dr Mahathir Mohamed masih menjadi Presiden Umno bagi tujuan mengelakkan individu yang sengaja mendapat dua pencalonan untuk bertanding.

"Tapi itu masa dulu. Sekarang nampak gayanya oleh kerana nak dapat kuota, maka mereka berusaha berlebih-lebihan dengan menjalankan apa juga aktiviti dan tindakan untuk mendapatkan kuota pencalonan," katanya.

Berikutan keadaan itu, katanya sistem kuota patut dihapuskan.

Tengku Ahmad Rithauddeen baru-baru ini menyarankan penghapusan kuota itu kerana mendapati sejak sistem itu diperkenalkan kira-kira hampir dua dekad lepas sebagai syarat pemilihan Umno, gejala politik wang dilihat semakin berleluasa hingga menyebabkan ia kini bertambah parah dan sukar dibendung.

Tokoh veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa pula berpendapat kini sudah sampai masanya untuk menegakkan amalan demokrasi dalam Umno dengan cara menghapuskan sistem kuota berkenaan.

Jika sistem kuota itu terus dibenarkan, ia akan menggalakkan pemimpin menggunakan wang untuk mencapai peratusan pencalonan yang dikehendaki, dan ahli korporat yang mempunyai banyak wang berpeluang untuk menjadi pemimpin, katanya kepada Bernama.

Abdul Aziz, 85, berkata: "Pemilihan parti mestilah dilakukan di peringkat anggota akar umbi dan jangan lah hanya terhad kepada para perwakilan parti sahaja."

Selain itu setiap pemimpin yang bertanding pula perlu dibolehkan untuk berkempen bagi menyuburkan amalan demokrasi, kata Aziz yang sebelum ini kerap menyuarakan supaya sistem kuota itu dihapuskan termasuk semasa berucap pada perhimpunan agung parti pada tahun 1980-an hingga 1990-an bagi mewakili Umno Melaka.

Bagi Ketua Wanita Umno Melaka Datuk Hazizah Mohd Sultan, mereka yang hendak menawarkan diri bertanding, mesti sudah beberapa tahun berkecimpung dalam politik sebagai anggota Umno.

"Ini baru daftar menjadi ahli Umno sudah tawarkan diri untuk menjadi calon rebut jawatan, bila tidak cukup pencalonan dia guna wang," katanya dan menambah, mereka yang hendak menawarkan diri bertanding perlulah mempunyai tokoh kepimpinan.

Ketua Wanita Umno Terengganu Senator Wan Ramlah Wan Ahmad pula berkata dalam keadaan politik sekarang yang sudah berubah, Umno tidak boleh lagi menyekat anggotanya yang semakin matang, bagi memilih pemimpin masing-masing secara proses demokrasi.

Beliau berkata ramai anggota Umno tidak bersetuju dengan sistem kuota berkenaan kerana ia hanya menutup peluang seseorang pemimpin itu untuk bertanding secara bersih.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Datuk Salim Bari yang menyerahkan kepada anggota Umno bagi membuat keputusan mengenai sistem kuota itu bagaimanapun berkata sistem itu yang telah diamalkan sejak berpuluh tahun memerlukan kajian untuk disesuaikan dengan peredaran zaman supaya ia lebih baik lagi.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno negeri itu Datuk Jahara Hamid berpendapat cadangan penghapusan sistem itu perlu disertakan dengan usaha berterusan yang cekap bagi membendung gejala politik wang.

"Kena tengok kepada cara pelaksanaan bagaimana sistem itu hendak dihapuskan dan ia perlu disertakan dengan usaha ketat bagi menghapuskan politik wang," katanya.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Dali Hussin pula berkata gesaan terhadap pemansuhan kuota dalam pemilihan Umno adalah relevan bagi mengurangkan politik wang yang kini mengacam perpaduan dalam parti di mana masing-masing mengejar kuota untuk mendapat mandat rakyat.

Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Razali Ibrahim pula mencadangkan mana-mana anggota Umno yang mahu bertanding pada pemilihan parti tidak diwajibkan untuk memperolehi sebarang pencalonan.

"Mana-mana anggota Umno yang mahu bertanding sepatutnya hanya perlu mengisi borang, menamakan pencadang dan selepas itu mereka boleh mencalonkan diri untuk bertanding apa-apa jawatan," katanya.

Sementara itu, beberapa pemimpin parti termasuk termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid sebaliknya mahu sistem kuota dipertahankan.

Bagi Shahidan alasan bahawa sistem itu mengundang politik wang sepatutnya tidak berbangkit kerana tanpa sistem kuota pun politik wang tidak dapat dihentikan.

Sistem itu bertujuan mengelakkan kepimpinan utama parti dicabar oleh sesiapa sahaja termasuk mereka yang tidak berkelayakan, katanya dan menambah:" Kita tidak ingin melihat Umno menjadi parti yang dipandang rendah semata-mata dengan membenarkan semua orang bertanding merebut jawatan Presiden Umno atau Timbalan Presiden Umno."

Bagi Mahdzir, sistem itu mempunyai kebaikan bagi memastikan seseorang calon yang mahu bertanding mendapat sokongan sewajarnya daripada akar umbi parti.

Ketua Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin pula berpendapat sistem kuota itu menggambarkan kredibiliti seorang pemimpin, dan jalan penyelesaian dalam memilih pemimpin yang boleh memimpin.

-- BERNAMA

siap la hang pak lah....mak pidah nak mengamuk hahaha....hancurrrr

No comments

Powered by Blogger.